WASHINGTON – Seorang lelaki di negeri Texas mengundang kecaman ramai selepas memusnahkan gitar yang memiliki tandatangan penyanyi terkenal, Taylor Swift, lapor stesen penyiaran NDTV semalam.
Gitar itu dibeli oleh lelaki tersebut pada hari yang sama dengan harga mencecah AS$4,000 (RM16,700) di acara lelongan Ellis County Wild Game Dinner di Texas.
Menerusi rakaman yang dimuat naik di platform X oleh akaun @TONYxTWO, dia dilihat memegang gitar itu sebelum memusnahkannya dengan tukul di khalayak ramai.
Lebih mengejutkan apabila orang ramai bersorak dengan perbuatan tersebut.
Dia juga berpura-pura menghempaskan guitar itu ke lantai, seolah-olah menunjukkan kebenciannya terhadap penyanyi pop tersebut.
Rakaman itu mencatatkan lebih 23 juta tontonan dan menimbulkan kemarahan ramai netizen.
“Nilai kekayaan bersih Taylor Swift melebihi AS$1 bilion (RM4.2 bilion). Ini tidak menjejaskannya,” sindir seorang netizen.
“Ini tidak menjejaskan Taylor Swift, namun dia (lelaki tersebut) telah kerugian AS$4,000,” sindir netizen lain. – AGENSI