PUTRAJAYA – Jabatan Alam Sekitar (JAS) akan mempertingkatkan kerjasama dengan agensi penguatkuasa lain bagi membanteras lambakan kewujudan kilang pelupusan haram di negara ini.
Ketua Pengarah Alam Sekitar, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar berkata, buat masa ini, pihaknya akan menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) terutama dalam menapis kemasukan sisa buangan berjadual yang masuk secara haram ke negara ini.
Beliau berkata, pihaknya mendapati, ada sisa buangan berjadual itu masuk ke negara ini secara haram dengan ikrar palsu sebelum ke kilang haram seperti yang disyaki berlaku di Teluk Gong, Pelabuhan Klang, Selangor.
“Jika sisa buangan itu dapat dikesan dari awal, kita akan arahkan untuk dihantar balik ke negara asal. Itu prosedur yang kami buat selama ini. Tapi yang terlepas tadi akibat ikrar palsu tadi kemudiannya masuk ke kilang pelupusan haram.
“Kita sedang mempertingkatkan kerjasama dengan JKDM, pihak berkuasa tempatan (PBT) termasuk kerajaan negeri dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi memeriksa kilang pelupusan haram ini,” katanya pada sesi interaktif bersama Ketua Pengarah Alam Sekitar Bersama Media berhubung pindaan Rang Undang-Undang Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2024 dan EIA, di sini hari ini.
Katanya, pihaknya terpaksa memohon kerjasama dengan pihak berkuasa lain dalam mengekang kewujudan kilang pelupusan haram termasuk menyekat sisa buangan itu masuk secara haram melalui pintu masuk negara. – KOSMO! ONLINE