Tahun 2020 sudah melabuhkan tirainya. Setahun yang sarat dengan ujian dan cabaran disebabkan oleh koronavirus.
Melangkah ke tahun 2021, rata-rata kita sudah bangkit dan bersedia untuk melangkah meneroka ruang dan peluang demi sebuah kehidupan.
Cuti panjang pada hujung minggu sempena Hari Natal dan cuti tahun baru dimanfaatkan oleh kebanyakan daripada kita untuk bercuti dan balik kampung sebelum sesi persekolahan bermula pada 20 Januari ini yang masih berbaki dua minggu lagi.
Di sebalik keriangan bercuti, rakyat Malaysia dikejutkan dengan kejadian lemas yang meragut sembilan nyawa di Sungai Batang Lupar di Betong, Sarawak pada 1 Januari lalu.
Tragedi menyayat hati itu menyebabkan seorang wanita berusia 58 tahun dari Kapit, Sarawak kehilangan dua anak dan tujuh cucu serentak.
Lebih menyedihkan, tragedi tersebut berlaku di depan matanya yang mana dia menyaksikan sendiri seorang demi seorang ahli keluarganya ‘pergi’.
Sehari kemudian, pada 2 Januari pula bah besar melanda Johor dan Pahang yang menenggelamkan beberapa bandar dengan jalan-jalan dan lebuh raya juga terpaksa ditutup selepas dinaiki air.
Kejadian banjir yang disifatkan luar biasa berbanding beberapa tahun-tahun kebelakangan ini telah meragut lima nyawa setakat ini. Dua mangsa lagi pula dilaporkan masih hilang.
Ia merupakan satu angka kematian yang besar dalam tempoh 72 jam selepas negeri-negeri terlibat dilanda bencana alam tersebut.
Ada juga yang terkandas di kampung halaman dan di lokasi percutian disebabkan jalan untuk pulang ke ibu negara dinaiki air.
Di sebalik musibah ini, kita juga masih ‘berperang’ dengan pandemik Covid-19 dengan bilangan kes positif yang masih kekal dengan empat angka setiap hari.
Satu yang kita perlu ingat. Kita masih belum menang melawan pandemik ini. Jadi patuhilah prosedur operasi standard yang ditetapkan oleh kerajaan.
Dalam kita bergembira bercuti dan meluangkan masa bersama ahli keluarga di kampung, jangan dilupakan kebiasaan baharu. Jaga penjarakan fizikal, elakkan bersentuhan dan keraplah mencuci tangan.
Tiga rutin ini sudah sebati dan menjadi amalan harian kita. Bagi negeri-negeri yang dilanda bah pula, sentiasa berwaspada dan ikut nasihat yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa. Ini bukan masa untuk menunjukkan siapa yang besar kepala.
Semoga kita semua terus dilindungi dan berita-berita sedih ini akan segera berakhir.-K! ONLINE