fbpx

K2

Tempoh idah bagi penzina wanita

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PENZINA boleh bernikah ketika hamil kerana tiada tempoh idah. – Gambar hiasan

Saya ada persoalan berkaitan situasi wanita yang berzina kemudian ingin berkahwin. Bagaimana pula kalau hamil, adakah perlu menunggu kelahiran anak? Adakah terdapat tempoh idah bagi wanita yang berzina tersebut?

Jawapan: Tujuan idah adalah untuk memelihara nasab yang merupakan maqasid dalam perkahwinan.

Oleh itu, penzina tiada idah dan tidak mempunyai nasab hasil persetubuhan tersebut. Kesannya, penzina boleh berkahwin ketika hamil menurut mazhab Syafi’i.

Bagaimanapun, penzina wajib bertaubat dan tidak mengulanginya.
Idah dari sudut syarak adalah nama suatu tempoh bagi wanita yang menunggu untuk mengetahui rahimnya kosong dan bersih daripada kandungan, selain sebagai tanda tempoh kesedihan bagi yang kematian suami dan semata-mata satu bentuk mematuhi perintah Allah SWT (ta’abud).

Ia disyariatkan bagi memelihara dan melindungi nasab daripada berlaku pencampuran benih serta memelihara hak pasangan dan anak.

Idah diwajibkan jika wujud hubungan antara lelaki dan wanita melalui pernikahan, mahupun persetubuhan syubhah.

Ia berkait dengan nafkah dan tempat tinggal semasa menjalani tempoh idah. Idah berlaku disebabkan penceraian antara pasangan suami isteri melalui lafaz talak dan seumpamanya mahupun disebabkan kematian. Antara tujuan disyariatkan idah adalah seperti berikut:

-Memelihara kesucian ikatan dalam perkahwinan, syariah dan kehidupan
-Memelihara nasab keturunan
-Mengelakan percampuran nasab
-Hak suami isteri
-Hak anak
-Hak pernikahan
-Hak Allah SWT dalam mentaati perintah penetapan tempoh idah tanpa penambahan, mahupun mengurangkan bilangannya.

Dalam mazhab Syafi’i, wanita yang berzina tidak perlu menjalani tempoh idah seperti yang dinyatakan oleh al-Khatib al-Syirbini.

Kata beliau: “Golongan yang terkeluar dari hukum idah adalah sebab zina, maka tiada idah bagi penzina,(wanita) menurut persepakatan fuqaha.”

Selain itu, Imam al-Syirazi juga menjelaskan seperti berikut: “Jika seorang lelaki berzina dengan seorang wanita, maka tidak diwajibkan idah baginya (perempuan tersebut), kerana idah itu untuk memelihara nasab dan hukum nasab tidak boleh dinisbahkan kepada penzina.

Oleh itu, tujuan idah adalah untuk memelihara nasab sedangkan wanita yang berzina tidak mempunyai nasab hasil persetubuhan tersebut.

Tempoh idah untuk memastikan rahim kosong daripada kandungan hanya bagi wanita yang bercerai ikatan perkahwinan.

Kesannya, penzina boleh bernikah ketika hamil disebabkan tiada idah.

Kesimpulannya, wanita berzina tiada keperluan menjalani tempoh idah berdasarkan mazhab syafi’i.

Bahkan, perbuatan zina tiada kaitan dengan tujuan menjaga nasab yang merupakan maqasid dalam perkahwinan bagi memelihara nasab keturunan.

Tempoh idah hanya untuk wanita yang bercerai daripada ikatan perkahwinan. Justeru itu, penzina boleh berkahwin walaupun dalam keadaan hamil dan sah menurut mazhab Syafi’i.

Akhir kalam, wanita penzina wajib bertaubat daripada perbuatan dosa besar dan tidak mengulanginya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI