PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan menubuhkan pasukan petugas khas bebas iaitu Pasukan Petugas Khas bagi menyiasat insiden kematian Pakar Perubatan Patologi di Lahad Datu berkuat kuasa 10 Oktober ini.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Pasukan Petugas Khas ini akan dipengerusikan oleh bekas Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Borhan Dollah.
Katanya, Pasukan Petugas Khas juga dianggotai lima ahli bebas bukan anggota KKM berpengetahuan dan mempunyai kepakaran seperti bidang perubatan, psikiatri, patologi serta kesihatan mental dan perlakuan buli.
Mereka merupakan Datuk Ir. Ts. Dr. Siti Hamisah Tapsir, Datuk Dr Azma.n Abu Bakar, Datuk Mohamad Fazin Mahmud, Datuk Prof. Ulung Dr. Looi Lai Meng dan Profesor Dr. Chan Lai Fong.
Dr. Dzulkefly berkata, Pasukan Petugas Khas ini berperanan melaksanakan siasatan dan menganalisis input daripada siasatan insiden kematian Pakar Patologi Kimia di Lahad Datu secara khusus serta meneliti budaya kerja di Hospital berkenaan.
“Mengenal pasti dan mengesahkan sama ada wujud perlakuan buli di Hospital Lahad Datu secara umum dan di Jabatan Patologi Hospital Lahad Datu secara khusus. Mengenal pasti jenis perlakuan buli yang cenderung berlaku di KKM serta faktor dalaman dan luaran yang menyumbang kepada perlakuan tersebut.
“Menyediakan laporan hasil siasatan berkaitan insiden kematian Pakar Perubatan Patologi Kimia di Lahad Datu serta cadangan penambahbaikan bagi mencegah dan menangani perlakuan buli di fasiliti kesihatan dalam masa tiga bulan dari tarikh penubuhan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelasnya, KKM komited untuk memperbaiki persekitaran kerja supaya lebih harmoni dan kondusif.
“KKM yakin usaha ini akan membuahkan hasil dan mendapat kerjasama daripada semua warga KKM selaras dengan visi untuk menyediakan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk Malaysia Madani,” ujarnya.
Sebelum ini, media melaporkan Dr. Tay Tien Yaa yang baru sahaja melaporkan diri di Hospital Lahad Datu pada Februari lepas ditemui meninggal dunia di rumah sewanya. – KOSMO! ONLINE