VAUGHN, MONTANA – Seorang lelaki di negeri Montana, Amerika Syarikat (AS) dijatuhi hukuman penjara enam bulan selepas menjalankan operasi pengklonan biri-biri selama beberapa tahun bagi mencipta spesies yang bernilai tinggi untuk dijual, lapor akhbar Metro UK.
Arthur Jack Schubarth, 81, didakwa mengimport spesies biri-biri terbesar di dunia yang dikenali sebagai Marco Polo, dari Kyrgyzstan ke AS secara haram.
Menurut Jabatan Kehakiman, tertuduh mengekstrak bahan genetik daripada haiwan terancam itu sebelum membawanya ke makmal untuk menghasilkan embrio.
“Tertuduh berjaya membiakkan seekor biri-biri Marco Polo argali tulen jantan secara genetik yang dinamakan Montana Mountain King atau MMK.
“Dia menggunakan air mani MMK itu untuk membuntingkan spesies betina berbeza yang diharamkan di Montana bagi menghasilkan haiwan hibrid.
“Matlamat mereka adalah mencipta spesies biri-biri yang lebih besar dan berharga untuk dijual kepada ladang pemburuan haiwan liar terutamanya di Texas,” kata Jabatan Kehakiman.
Marco Polo jantan merupakan spesies terancam yang mempunyai berat lebih 300 kilogram dan tanduk melebihi 1.5 meter lebar. – AGENSI