LONDON – Pengurus Arsenal, Mikel Arteta menghambur pujian tinggi kepada penyerangnya, Kai Havertz yang dianggap seorang pemain ‘genius’ dalam kemenangan 2-0 ke atas Paris Saint-Germain (PSG) dalam aksi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Stadium Emirates awal pagi semalam.
Havertz menampilkan persembahan memukau buat The Gunners dengan membuka tiria jaringan pada minit ke-20 sehinggakan bintang Jerman itu dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan tersebut.
Gol itu menyaksikan Havertz yang dibeli daripada Chelsea awal musim lalu, berjaya meledak jaringan dalam enam penampilan terakhirnya di Emirates dalam semua kejohanan.
“Dia (Havertz) sangat menakjubkan. Dia mempunyai otak yang genius kerana dia bijak mencipta ruang dan masa. Dia juga tiada masalah untuk menyesuaikan diri dengan pasukan.
“Dia juga bekerja keras buat pasukan tanpa mengeluh. Anda sendiri boleh melihat dia akan menjadi ancaman setiap kali dia berada dalam kawasan lawan,” kata Arteta.
Selain Havertz, Arsenal sekali lagi berjaya menghasilkan jaringan menerusi gerakan set-piece melalui sepakan percuma Bukayo Saka yang gagal dibaca dengan baik oleh penjaga gol PSG, Gianluigi Donnarumma pada minit ke-35.
The Gunners yang kini masih belum tewas dalam semua kejohanan musim ini, berjaya mencatat kemenangan pertama di pentas UCL selepas terdahulu diikat seri tanpa jaringan oleh wakil Itali, Atalanta bulan lalu.
Kejayaan itu pastinya memberikan motivasi terbaik buat naib juara Liga Perdana Inggeris dua musim berturut-turut tersebut untuk mengulangi prestasi sama menentang Southampton di Emirates pada Sabtu ini. – AGENSI