fbpx

‘Pembunuhan Sabari sama seperti kes ayah saya 13 tahun lalu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ibrahim menunjukkan gambar ibu dan ayahnya ketika ditemui di Teratak Amal Team Rembau, Negeri Sembilan hari ini. FOTO NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

REMBAU – Kes pembunuhan ke atas pesara Felcra, Sabari Baharom di Kedah seakan-akan mengimbau kembali kejadian yang menimpa bapa pengasas Skuad Amal Rembau, Ibrahim Hamzah 13 tahun lalu.

Ibrahim berkata, bapanya iaitu Allahyarham Hamzah Abdul Majid diculik pada malam 18 Oktober 2011 sebelum kereta jenis Proton Wira Aeroback dijumpai terbakar di Bandar Enstek, Nilai tidak sampai seminggu selepas kehilangan lelaki tersebut.

Menurut anak bongsu daripada lima beradik itu, bapanya telah diikat sebelum dibuang ke dalam sungai di Angsamas, Mambau berdasarkan pengakuan suspek kepada pihak berkuasa.

“Sehingga kini, jasad ayah saya masih belum ditemui. Kami baru sahaja menerima Sijil Anggapan Kematian yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) pada Ramadan lalu.

“Kes ini kami telah melaluinya kira-kira 13 tahun lepas, perasaan yang sukar untuk digambarkan. Saya faham perasaan keluarga (Sabari) lebih-lebih lagi apabila jasadnya masih belum dijumpai setakat ini

“Saya mengikuti rapat perkembangan kes kehilangan pesara Felcra tersebut. Apabila membaca berita kereta miliknya dibakar, terdetik di hati saya mesti sama macam kes ayah.

“Akhirnya terjawab apabila dia (mangsa) juga diikat dan dibuang ke dalam sungai,” katanya ketika ditemui di Teratak Amal Team Rembau di sini, hari ini.

Ibrahim memberitahu, lebih mengejutkan, salah seorang daripada empat suspek yang terlibat dalam kes pembunuhan bapanya merupakan suami kepada jirannya.

“Ayah yang merupakan pesara tentera beri nasihat kepada suspek supaya tidak berkasar dengan anak tiri. Nasihat itu membawa ketegangan sebelum suspek menghilangkan diri,” katanya.

Disebabkan jasad bapanya belum ditemui sehingga kini, dia menguruskan jenazah secara sukarela.

“Alhamdulillah usaha ini mendapat sambutan dan kini kami memiliki empat buah kenderaan (van jenazah), sebuah ambulans dan sebuah lori pengurusan jenazah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI