BINTANG Johor Darul Ta’zim (JDT), Arif Aiman Hanapi menegaskan mahu kekal terus bermain dalam pasukan selatan tanah air tersebut sepanjang tempoh karier bola sepaknya.
Pemain berusia 22 tahun itu berkata, dia menikmati setiap minit permainan sama ada melibatkan pertandingan antarabangsa mahupun di liga tempatan.
“Saya menikmati setiap masa di sini, bukan senang dapat peluang beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) melawan pasukan terbaik asia.
“Tetapi, saya tidak boleh bersikap sambil lewa, tidak boleh berasa terlalu selesa sebaliknya akan terus bekerja keras setiap masa dan berikan yang terbaik dalam semua perlawanan.
“Saya ingin terus kekal bermain di kelab ini sampai bila-bila,” katanya dalam sidang akhbar selepas perlawanan kedua ACLE 2024/25 antara JDT menentang Shanghai Shenhua FC di Stadium Sultan Ibrahim, kelmarin.
Dalam perlawanan itu, Arif Aiman menjaringkan gol pertama selain turut memainkan peranan penting dalam membantu kemenangan 3-0 skuad Harimau Selatan.
Dia turut berterima kasih kepada Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail dan Ketua Jurulatih JDT, Hector Bidoglio kerana sentiasa memberi motivasi khususnya selepas berdepan kecederaan sebelum ini.
“Kemenangan hari ini untuk penyokong. Kami hargai mereka datang ke stadium dan kami mahu berikan persembahan terbaik, terima kasih semua,” katanya yang baharu pulih daripada kecederaan buku lali.
Sementara itu, Bidoglio pula memberitahu, beliau berpuas hati dengan persembahan yang ditunjukkan anak-anak buahnya semasa menundukkan pasukan dari China itu.
“Kami bermain dengan baik, kerjasama antara pasukan juga baik sehingga berjaya mewujudkan banyak peluang jaringan. Saya sangat gembira dengan persembahan mereka sepanjang perlawanan ini.
“Kami sedar setiap perlawanan dan setiap kemenangan adalah penting, sama ada melibatkan pertandingan antarabangsa mahupun liga tempatan. Jadi kami akan terus lakukan yang terbaik,” jelasnya lanjut.