fbpx

LTdL 2024: De Kleijn bangkit ubati kekecewaan 

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DE KLEIJN (tengah) meraikan kejayaan menjuarai Peringkat Empat perlumbaan LTdL 2024 dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong sebentar tadi. - SHIDDIEQIIN ZON

BENTONG – Pelumba sensasi Tudor Pro Cycling Team, Arvid De Kleijn melakukan pecutan bertenaga untuk muncul sebagai pemenang Peringkat Keempat siri jelajah Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 sebentar tadi.

Pada perlumbaan bermula dari Kuala Kubu Bharu, Selangor ke Bentong, Pahang itu, De Kleijn yang mewakili pasukan ProTeam dilihat mudah mendominasi saingan yang meliputi jarak sejauh 131.2 kilometer (km) dalam tempoh dua jam 53 minit 37 saat (s).

Pelumba kelahiran Belanda yang pernah menjuarai dua peringkat LTdL edisi 2023 itu berjaya mengetepikan pencabar, Matteo Malucelli daripada pasukan JCL Team UKYO di kedudukan kedua dan Manuel Penalver Aniorte (Team Polti Kometa).

Menurut pelumba berusia 30 tahun itu, kemenangan yang diraih adalah pengubat kekecewaan selepas gagal mempamerkan prestasi diharapkan pada saingan bertaraf 2.Pro berkenaan pada tiga peringkat awal sebelum ini.

“Saya rasa seperti bertanggungjawab apabila gagal membantu pasukan sekurang-kurangnya dua peringkat LTdL yang lepas. Pujian wajar diberikan kepada pasukan yang bekerja keras sepanjang perlumbaan.

DE KLEIJN (tengah) memenangi perlumbaan Peringkat Empat (Kuala Kubu Bharu-Bentong) diikuti pemenang tempat kedua, Malucelli (kiri) dan ketiga, Aniorte (kanan) pada majlis penyampaian hadiah sebentar tadi. – SHIDDIEQIIN ZON

“Ini adalah perlumbaan yang cukup sengit terutama pada pecutan terakhir. Apa yang pasti, saya sudah kembali mendapatkan momentum seperti yang ditampilkan ketika menang dua kali pada tahun lalu,” katanya selepas tamat perlumbaan.

Sementara itu, pemenang Peringkat Ketiga kelmarin, Max Poole masih mengekalkan jersi hijau selepas menjadi pendahulu keseluruhan diikuti Thomas Pesenti (JCL Team UKYO) dan Unal Iribar Jaugeri (Equipo Kerin Pharma).

Sementara itu, Malucelli berjaya mengekalkan jersi jingga (Raja Pecut) selain Mario Aparicio Munoz yang mewakili  Burgos BH turut mendapatkan jersi polka dot (Raja Bukit).

Jaguh Jepun, Manabu Ishibashi yang bersama JCL Team UKYO juga masih mengekalkan jersi putih selaku pelumba terbaik Asia.

Perlumbaan Peringkat Lima akan berlangsung hari ini bermula dari ibu negara, Kuala Lumpur ke bandaraya Melaka dengan jarak keseluruhan 167.3km. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI