PETALING JAYA – Tinggal lima hari lagi permohonan perceraian diajukan Nur Fazura bakal diputuskan di mahkamah, pelakon Fattah Amin terus ligat bekerja apabila dipilih mempromosikan jenama Pak Mat Western.
Malah tidak sampai 24 jam, video yang menunjukkan pemilik nama lengkap Abdul Fattah Mohd. Amin membawakan watak tuan punya syarikat produk makanan itu meraih hampir 3 juta tontonan.
Dalam video berdurasi lima minit tersebut, Fattah selaku bos yang menyembunyikan identiti sebenar turun padang menyamar sebagai pekerja bagi memperbaiki kualiti perkhidmatan dan produk syarikat.
Turut melakukan kerja rencam termasuk membersihkan meja dan menghantar daging perap sejuk beku, Fattah tidak ketinggalan menitipkan pesanan kepada pekerjanya mengenai erti merendah diri.
“Kita ikut resmi padi, makin berisi makin tunduk. Lagipun pangkat dan kemasyhuran ini semua tidak akan kekal lama.
“Satu hari nanti kita kena kembali kepada-Nya,” katanya ketika ditanya pembantunya yang bernama Una dalam drama pendek itu.
Rata-rata netizen meninggalkan komen nakal dengan menyatakan syarikat terbabit gemar mengambil personaliti popular yang bakal bercerai mempromosikan produk.
Malah ada yang perasan jenama terkenal itu bijak mencuri peluang menggunakan selebriti terbabit ketika nama mereka sedang ‘panas’.
“Memang Pak Mat Western suka ambil orang yang dah (nak) cerai ke macam mana?,” kata seorang pengikut.
“Hari tu Datuk Red, lepas tu Fattah Amin, mungkin selepas ni Jofliam (pempengaruh),” ujar netizen lain
“Laju Pak Mat Western buat kerja, pantang dengar viral,” tulis satu akaun.
Antara individu berpengaruh yang pernah muncul dalam video promosi jenama terbabit adalah Tun Dr Mahathir, Tyzo, Khairy Jamaluddin (KJ), Syukri Yahaya dan Sharnaaz Ahmad.
Terdahulu, spekulasi rumah tangga aktor itu terus menjadi bualan selepas isterinya memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Syariah Petaling, Subang Bestari, pada 13 September lalu iaitu sehari sebelum ulang tahunnya.
Bagaimanapun, sebutan kes permohonan tersebut ditangguhkan ke 7 Oktober bagi membolehkan kedua-dua pihak berbincang sebelum tarikh prosiding.
Biarpun Fattah menegaskan enggan melepaskan Nur Fazura atas dasar sayang, aktres terbabit tetap dengan keputusannya demi maruah selain kesejahteraan anak tunggal mereka.
Pasangan terbabit mendirikan rumah tangga pada 27 November 2017 dan dikurniakan seorang cahaya mata perempuan, Nur Fatima Aisya yang berusia empat tahun. – HIBGLAM