fbpx

‘Ibu sahaja yang tahu punca Nur Adila keluar rumah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nur Adila Natasya gagal dikesan selepas keluar dari rumah keluarganya di Kuala Balah, Jeli untuk mencari kerja di Kuala Lumpur pada 22 September lalu.

JELI – Seorang gadis yang sebelum ini dilaporkan hilang kira-kira dua minggu lalu rupanya keluar dari rumah di Kampung Tungku Abdul Rahman, Kuala Balah tanpa kebenaran keluarganya untuk mencari pekerjaan di Kuala Lumpur.

Nur Adila Natasya Mohd. Izan, 20, disedari hilang kira-kira pukul 1 tengah hari pada 22 September lalu selepas ahli keluarga menemui sekeping nota yang ditinggal di dalam biliknya.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob berkata, polis ada menerima laporan mengenai kehilangan gadis itu oleh ahli keluarganya.

Menurutnya, siasatan mendapati, gadis terbabit sudah meminta kebenaran daripada ibu bapa untuk bekerja di Kuala Lumpur, namun hasratnya itu dihalang oleh ahli keluarga.

“Sebelum keluar dari rumah, Nur Adila Natasya ada meninggalkan sekeping nota di dalam biliknya memaklumkan dia keluar dari rumah untuk mencari kerja di Kuala Lumpur. Dia akan menghubungi ahli keluarganya selepas semua urusan mencari kerja di ibu negara selesai,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.

Saari memberitahu, menyedari Nur Adila Natasya gagal dihubungi, keluarganya terus membuat laporan di Balai Polis Kuala Balah di sini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan mangsa, boleh menyalurkan maklumat dengan menghubungi pegawai penyiasat di talian 011-2364 7728 atau 09-944 0222.

Sementara itu, abang kepada Nur Adila Natasya yang dikenali sebagai Luqman ketika dihubungi berkata, setakat ini, adiknya masih belum dapat dihubungi selepas pelbagai usaha mencari dilakukan oleh keluarga.

“Ibu sahaja yang tahu punca adik saya keluar rumah. Saya difahamkan ibu ketika ini amat sedih dengan tindakan Nur Adila Natasya lebih-lebih lagi adik gagal dikesan sehingga hari ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI