fbpx

Suami saya baik, dia tidak pandai marah – Isteri Sabari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Subhiah Roslina ketika hadir pada operasi pencarian jasad suaminya di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu, Jitra semalam. Foto oleh SHAHIR NOORDIN/ KOSMO!

JITRA – Isteri kepada Sabari Baharom, 62, tidak dapat menerima perbuatan kejam suspek yang sanggup mencampakkan suaminya ke sungai dalam keadaan masih bernyawa.

Menurut Subhiah Roslina Shahibi, 57, hukuman setimpal perlu dikenakan ke atas dua suspek berusia 26 dan 38 itu.

“Pada saya perbuatan mereka kejam sebab suami saya umur 62 tahun, yang buat itu pula macam peringkat anak iaitu umur 26 dan 38 tahun.

“Bagi saya kejam sebab orang yang masih bernyawa dicampakkan (ke dalam sungai) seperti itu,” katanya ketika hadir di lokasi pencarian jasad Sabari di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu, di sini semalam.

Katanya, dia tidak mengetahui motif sebenar kejadian, namun tidak menolak kemungkinan suaminya diperlakukan sedemikian rupa kerana disamun.

“Berlaku banyak fitnah dan macam-macam versi cerita, semasa saya di Kuala Lumpur pun bermacam cerita. Namun kes ini mungkin sebab orang nak samun, kemungkinanlah,” ujarnya.

Katanya, dia sedih kerana suaminya seorang yang sangat baik dan disenangi ramai.

“Suami saya baik dan tidak pandai marah, mungkin disebabkan itu orang ambil kesempatan. Kasihan orang yang baik selalu jadi mangsa seperti itu,” jelasnya.

Sementara itu, katanya, dia tinggal di Kuala Lumpur dan masih bekerja di Felcra serta tidak mengenali suspek.

“Kali terakhir jumpa suami bila dia datang ke Kuala Lumpur dan hantar buah-buahan dari dusunnya pada 27 Julai lalu. Kali terakhir kami berbual menerusi telefon adalah pada 2 September lepas dan tiada perubahan dikesan pada dirinya.

“Cuma dia nasihat saya jangan pergi ke kawasan tanah jerlus itu, dia sebut nanti awak hilang, susah saya. Namun tiba-tiba dia pula yang hilang,” katanya.

Katanya, dia akan mengikuti usaha pencarian suami sehingga Jumaat ini dan berharap agar jasad suami ditemukan supaya dapat dikebumikan.

“Selain itu, solat hajat yang dibuat sepanjang kehilangan suami akan diteruskan sehingga jasadnya ditemui. Felcra ada buat (solat hajat), surau di rumah saya di Kuala Lumpur pun ada buat kerana suami juga ahli surau di sana,” ujarnya.

Tambahnya, dia sentiasa teringat kenangan bersama suami yang merupakan seorang yang sangat bertolak ansur, rajin mengemas rumah serta pandai memasak dengan makanan kegemarannya adalah kari. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI