fbpx

Hajat nak lolos, malangnya terlanggar tiang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kereta Proton Wira yang dikejar anggota polis terbabas dan melanggar tiang elektrik di hadapan SK Syed Jan Al-Jaffri di Sungai Layar, Sungai Petani, hari ini.

SUNGAI PETANI – Cubaan dua lelaki melarikan diri daripada polis dengan memecut laju sebuah kereta curi berakhir dengan seorang daripada mereka ditahan polis di Sungai Layar, di sini hari ini.

Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 tengah hari itu, kereta jenis Proton Wira dinaiki dua suspek lelaki itu terbabas lalu melanggar tiang elektrik di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Syed Jan Al-Jaffri.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, terdahulu kereta tersebut dikesan anggota dalam keadaan mencurigakan di sebuah stesen minyak di situ.

“Ketika anggota menghampiri kereta untuk membuat pemeriksaan, pemandunya terus memecut laju dengan cara berbahaya ke arah pusat bandar sebelum anggota MPV bertindak mengejar kereta berkenaan serta turut menghubungi Pusat Kawalan Daerah (DCC) memohon bantuan.

“Walau bagaimanapun sebaik tiba di hadapan SK Syed Jan Al-Jaffri, kereta itu terbabas sebelum melanggar tiang elektrik menyebabkan kenderaan berkenaan rosak,” katanya di sini, hari ini.

Kata beliau, tindakan pantas polis berjaya menahan seorang suspek, manakala rakannya sempat melarikan diri.

“Pemeriksaan badan lelaki berusia 44 tahun dan bekerja sebagai buruh itu tidak menemui sebarang kesalahan, namun semakan lanjut mendapati kereta itu dilaporkan hilang di Alor Setar, hari ini.

“Semakan rekod mendapati lelaki yang ditahan itu mempunyai lapan rekod lampau membabitkan lima kes jenayah dan tiga kes dadah. Kita dalam usaha mengesan rakan suspek dan siasatan lanjut dibuat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti penglibatan mereka dalam sindiket curi kenderaan,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI