fbpx

Liga ACLE: JDT bantai Shanghai Shenhua 3-0

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JORGE OBREGON meraikan gol jaringannya pada perlawanan ACLE menyaksikan JDT menewaskan Shanghai Shenhua FC 3-0 di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri, malam ini. - Foto RAJA JAAFAR ALI

ISKANDAR PUTERI – Johor Darul Ta’zim (JDT) mencatat kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) 2024/25 setelah menundukkan Shanghai Shenhua FC 3-0 dalam perlawanan kedua kumpulan A di Stadium Sultan Ibrahim, di sini malam ini.

JDT tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan jaringan pembukaan apabila pemain bintang mereka, Arif Aiman berjaya menewaskan penjaga gol pasukan pelawat, Bao Yaxiong pada minit ke-11.

Pasukan tuan rumah kemudian hampir mencatat gol kedua pada minit ke-23, bagaimanapun jaringan Oscar Arribas dibatalkan selepas pemeriksaan Video Bantuan Pengadil (VAR) mendapati Arif Aiman yang menghantar bola berada pada kedudukan ofsaid.

Skuad Harimau Selatan tidak perlu berduka terlalu lama apabila tiga minit kemudian, Jorge Obregon berjaya menanduk masuk bola hantaran Murillo De Araujo Santos menjadikan kedudukan 2-0.

Babak kedua menyaksikan JDT terus mengasak pasukan pelawat bertubi-tubi sebelum berjaya mendapatkan jaringan ketiga pada minit ke-80 menerusi sepakan percuma Juan Muniz Gallego.

Kedudukan 3-0 itu kekal sehingga wisel penamat dibunyikan pengadil, Adel Ali Alnaqbi dari Emiriah Arab Bersatu.

Dalam perlawanan pembukaan ACLE JDT pada 18 September lalu di Shanghai, China, mereka terikat dengan jaringan 2-2 bersama Shanghai Port.

Skuad Harimau Selatan bakal berdepan kelab dari Korea Selatan, Gwangju FC dalam perlawanan ketiga saingan itu pada 22 Oktober depan.

ACLE dahulunya dikenali sebagai AFC menggunakan format ‘swiss-system’, sama dengan Liga Juara-Juara UEFA (UCL) 2024/2025.

Berdasarkan format itu, 24 pasukan dibahagikan kepada dua kumpulan iaitu Asia Barat dan Asia Timur dengan pasukan dalam setiap liga berdepan lapan lawan berbeza menerusi empat perlawanan di tempat sendiri dan empat perlawanan di tempat lawan.

Lapan pasukan teratas setiap liga akan mara ke pusingan 16 terbaik yang dijadualkan pada Mac 2025. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI