PETALING JAYA – Seorang pengantin lelaki yang dikenali sebagai Adam terpaksa melalui hari yang sangat menyedihkan apabila bakal permaisuri hatinya membatalkan majlis perkahwinan mereka pada saat-saat akhir.
Kisah yang dikongsi melalui akaun Tik Tok @ibumateenanaqi menyaksikan, majlis kahwin yang diadakan disebuah dewan itu terpaksa dibatalkan di saat akhir dan digantikan dengan majlis doa selamat.
Menerusi klip tersebut juga, ahli keluarga dan jemputan tetap menjalankan majlis tersebut walaupun dengan ketidakhadiran pihak pengantin perempuan dengan acara-acara lain.
“Sedih, hanya Adam sahaja yang tahu. Ini baru satu peratus suasana yang terpaksa dihadapi keluarga ini. Acara persandingan tetap diteruskan walaupun diapit ibu dan adik Adam.
“Ibu pengantin rancang majlis ini sebagai majlis yang indah, tidak mengapa majlis bersilaturahim dan doa selamat menjadi pengganti,” tulis hantaran tersebut.
Orang ramai yang menyaksikan video itu turut meninggalkan komen semangat kepada penggantin agar terus kuat menerima ujian besar ini.
“Semoga Adam dapat isteri solehah nanti, peraturan Allah adalah yang terbaik untuk Adam. Semoga Allah berkati Adam dan keluarga,” tulis Melur.
“Dia bukan larikan diri daripada awak Adam, tetapi Allah menjauhkan dia daripada awak, terus kuat saudara,” kata Izzman.
“Ujian besar tapi besar maknanya tu, sememangnya Allah maha mengetahui. Dia mungkin tidak sesuai untuk anda,” kata Jo Rahman. – KOSMO! ONLINE.
@ibumateenanaqi Replying to @Diana.Azmi ♬ original sound – ibumateenanaqi