fbpx

‘Saya guna guni bukan sebab tak mampu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fadhlina ketika membuat panggilan bersama Rafida, baru-baru ini.

KOTA KINABALU – “Saya pakai guni sebab mudah letak barang, bukannya tidak mampu. Kebetulan pihak Universiti Malaysia Sabah (UMS) juga tetapkan pelajar baharu ketika pendaftaran hanya boleh bawa maksimum dua beg atau bagasi.”

Itu penjelasan pelajar yang tular membawa guni sebagai bagasi ketika mendaftar di UMS, Rafida Ziaddin, 19, baru-baru ini.

Rafida berkata, dia perlu menaiki bas selama enam jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu dan banyak barang keperluan hendak dibawa ke universiti ketika itu.

“Oleh itu, saya ambil inisiatif guna guni kepunyaan bapa untuk masukkan separuh barang yang perlu dibawa manakala selebihnya disimpan di dalam bagasi dan beg sandang,” kata Rafida Ziaddin, 19.

Anak bongsu daripada dua beradik itu berkata, dia sendiri terkejut mengetahui ceritanya membawa guni plastik ketika pendaftaran menjadi tular sehingga mendapat perhatian menteri.

Menurut bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Convent Sandakan itu menyatakan, ada seorang senior datang ke biliknya dan bertanyakan tentang guni dibawanya sebelum perkara itu tular.

“Ketika itu saya hanya terfikir mungkin ada terbawa barang orang lain tetapi senior terbabit cuma mengambil gambar dan membuat sedikit temu bual,” katanya ketika dihubungi.

Dalam pada itu, ditanya reaksinya ketika menerima panggilan video dari Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, Rafida yang bercita-cita bergelar seorang akauntan memaklumkan, Fadhlina ada bertanya sama ada duit perbelanjaannya mencukupi sebelum menghantar duit secara pemindahan dalam talian berjumlah RM3,000.

Sementara itu, Rafida yang mengambil jurusan perakaunan di UMS adalah antara lima pelajar dari universiti itu yang diberikan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), hari ini.

Tawaran biasiswa berkenaan disampaikan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Mohd Arifin Arif dengan disaksikan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam Sabah, Datuk Zainudin Aman di Menara Kinabalu.

Mohd Arifin yang juga EXCO Pendidikan negeri menafikan tawaran biasiswa kepada Rafida diberikan selepas cerita mengenai bagasi guni plastik yang digunakan pelajar itu tular sejak kelmarin.

“Anak-anak kita sudah dibantu. Ketika beliau (Rafida) masuk matrikulasi tahun lalu pun kita ada bantu menerusi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI) sebanyak RM1,500.

“Tahun ini, apabila masuk ijazah juga mendapat RM2,000 melalui BUDI. Bantuan ini untuk masuk ke institusi pendidikan tinggi (IPT).

“Beliau juga menerima Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS) pada tahun ini dan sebenarnya sudah disenaraikan serta diputuskan oleh pihak pengurusan BKNS,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI