KLIMAKS ledakan irama rock di Malaysia berlaku sekitar tahun 1980-an. Pada waktu tersebut pelbagai jenama rock mula muncul ibarat cendawan yang tumbuh selepas hujan, namun kekuatan sesebuah jentera rock masing-masing bergantung kepada album mahupun muzik yang digarapkan.
Jadi, tidak hairanlah jika kumpulan Revolusi juga menjadi antara jenama yang sentiasa menerawang dalam minda peminat muzik tegar rock.
Setelah tiga dekad mencipta jenama, Revolusi wajar mendabik dada kerana masih utuh menjulang panji-panji sendiri apatah lagi masih kekal dengan anggota asal yang masih aktif bermain muzik biarpun sekadar berada di belakang tabir serta melakukan kerja hakiki demi kelangsungan hidup.
Revolusi diasaskan oleh Yazeed pada 1987 yang bertindak sebagai pemain drum telah mengumpulkan barisan penggempur iaitu Roslan Jantan (bass), Zul Haidi (gitaris), Mohd. Saidin (gitaris) dan Rahimah atau lebih dikenali sebagai Emma selaku vokalis.
Revolusi pernah muncul dengan abum berjudul Bayangan Misteri terbitan Mega Rekod, edaran oleh Musical Sound Organisation Malaysia dan telah berjaya terjual sebanyak 50,000 unit.
Seketika kemudian, vokalisnya Emma atau Rahimah Sukor, 47, memilih haluan sendiri untuk membina karier solo dan muncul dengan album berjudul Emma pada 1993 yang memuatkan lagu popular antaranya, Kembalilah dan Redup Tak Berimbun yang dijual melebihi 70,000 unit.
Karier Emma berterusan dengan album Kecil Tapi Pedas (1995) yang memuatkan dua lagu popular iaitu Impian Semalam dan Kasih Tak Bertepi.
Kini, biarpun Revolusi sudah tidak lagi aktif, Emma berasa terpanggil untuk merakamkan semula Bayangan Misteri bagi meraikan ulang tahun ke-30 penghasilannya dan tampil dengan album khas.
“Saya membina karier nyanyian bermula dengan kumpulan Revolusi. Biarpun hanya beberapa tahun kemudian saya undur diri demi memberi laluan kepada kerjaya solo, kumpulan ini tidak pernah mencari vokalis baharu bagi menggantikan kekosongan tempat yang ditinggalkan.
“Sebenarnya ini adalah sebuah projek istimewa tribut untuk band Revolusi. Album ini sebagai penghargaan yang tidak terhingga daripada saya untuk Revolusi dan peminat yang selama ini tidak jemu-jemu memberikan sokongan, malah di mana saja saya berada meskipun ketika pertunjukan pentas, mereka meminta saya menyanyikan lagu Bayangan Misteri”, ujarnya lagi.
Berkongsi lanjut tentang proses rakaman semula lagu Bayangan Misteri, Emma terlebih dahulu mendapatkan persetujuan ahli kumpulan Revolusi mengenai hasratnya.
“Saya merakamkan lagu Bayangan Misteri yang merupakan hasil ciptaan Lan Rock ketika berusia 17 tahun. Selepas 30 tahun, lagu ini masih lagi mendapat sambutan. Alhamdulilah, semua anggota
Revolusi menyambut baik niat saya dan memberi sokongan untuk dirakamkan semula lagu ini.
“Ini juga salah satu cara mengekspresikan perasaan terima kasih buat Revolusi kerana selepas pengunduran saya daripada band, mereka tidak pernah merekrut vokalis baharu.
“Saya dedikasikan lagu itu juga buat gitaris Revolusi, Zul Haidi yang telah meninggal dunia sebagai kenangan kami bersama.
“Saya sangat berpuas hati dengan sentuhan komposer muda Gijie 6ixth Sense yang mewarnakan lagu Bayangan Misteri menjadi segar,” katanya yang turut mendapat kerjasama yang baik oleh vokalis asal Revolusi, Sanat Alpha dalam projek khas berkenaan.
Menurut Emma, album berkenaan dikeluarkan dalam format Boxset yang mengandungi lagu Bayangan Misteri dan baju-T, manakala hoodie pula akan dijual secara berasingan.
“Alhamdulillah, apa yang boleh saya kongsikan, setakat ini sambutan Boxset yang dijual pada harga RM69 amat mengalakkan.
“Dalam album ini dimuatkan empat trek lagu Bayangan Misteri dengan pelbagai versi antaranya lagu Bayangan Misteri 2020, instrumental, minus one dan lagu asal Bayangan Misteri,” tuturnya yang kini menguruskan syarikat miliknya Impact Music & Entertainment.
Peminat yang mahu mendapatkan Boxset Bayangan Misteri 2020, boleh menghubungi talian 017-7608147 atau e-mel ke [email protected].