fbpx

Rafida redah 300km bawa guni daftar masuk universiti

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rafida.

PETALING JAYA – Seorang pelajar baharu Universiti Malaysia Sabah (UMS), Rafida Zaiddin,19, mendapat perhatian ramai apabila tular kisahnya yang membawa guni ketika mendaftar masuk ke institusi tersebut, baru-baru ini.

Rafida yang berasal dari Kampung Sim-Sim, Sandakan, Sabah itu memaklumkan dia menaiki bas selama enam jam dari Sandakan ke Kota Kinabalu dengan anggaran jarak lebih 300 kilometer (km).

Menerusi beberapa perkongsian yang tular di media sosial, Rafida memilih untuk membawa sebahagian keperluannya menggunakan guni bagi mengelak barang tercicir sewaktu meredah perjalanan jauh.

“Saya menaiki bas dari Sandakan ke Kota Kinabalu selama enam jam, jadi sudah tentu banyak barang yang perlu dibawa. Jadi saya masukkan separuh barang dalam guni plastik kerana tiada beg besar. Jika diasingkan, saya risau barang tercicir.

“Separuh lagi barang saya masukkan dalam bagasi dan beg sandang. Bapa yang sarankan saya gunakan guni plastik ini. Saya tidak terfikir (perkara ini) menjadi tular,” katanya.

Kisah anak bongsu daripada dua beradik itu turut mendapat perhatian pelbagai pihak sehingga dia menerima pelbagai bantuan pendidikan termasuklah Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).

Rafida yang merupakan pelajar jurusan perakaunan UMS adalah antara lima pelajar dari universiti itu yang diberikan biasiswa berkenaan oleh Jabatan Perkhidmatan Awam Negeri Sabah (JPANS), hari ini.

Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menerusi hantaran di Facebook rasminya memaklumkan, beliau telah menghubungi remaja berkenaan dan menguruskan serta-merta semua urusan beban kewangan serta keperluan yang diperlukan pelajar itu untuk meneruskan pengajian.

Fadhlina dalam hantaran sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Rafida kerana telah memberi kesedaran bahawa perjuangan pendidikan manusiawi adalah kekuatan Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI