SANTUBONG – Hari kedua operasi mencari dan menyelamat (SAR) seorang lelaki yang hilang di perairan Santubong sejak Ahad lalu (3 Dis) masih belum menjumpai mangsa dan akan diteruskan esok (Rabu).
Menurut laporan pertengahan Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak, operasi SAR pada hari ini (5 Jan) telah dibahagikan kepada dua sektor iaitu pencarian di darat dan laut.
“Pencarian melalui darat di sepanjang pesisir pantai adalah sejauh lima kilometer. Manakala pencarian melalui laut iaitu menggunakan teknik permukaan air (surface searching) adalah dalam radius 20 batu nautika bagi pihak Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) dan radius dua batu nautika bagi pihak bomba.
“Sekitar pukul 2 petang, pasukan SAR telah menjumpai peranti pengapungan peribadi (PFD) yang berkemungkinan milik mangsa pada jarak 800 meter dari Pos Kawalan Bomba (PKB),” katanya.
Walau bagaimanapun, mangsa masih belum dapat dijumpai dan operasi SAR ditangguhkan pada pukul 6.43 petang.
Mangsa yang dikenali sebagai Samsudin Beden, 59, dipercayai telah keluar dari rumah sekitar pukul 5.50 pagi untuk menghantar bot dari Santubong ke Kampung Lundu pada Ahad lalu, namun mangsa dilaporkan tidak pernah sampai ke destinasi dan gagal dihubungi.
Orang kampung telah melakukan pencarian awal di sekitar Kuala Lundu sebelum membuat panggilan kecemasan pada pukul 9.25 malam pada hari kejadian.
Operasi SAR diaktifkan pada keesokan hari (Isnin) dan dikawal selia sepenuhnya oleh pihak APMM dan dibantu agensi-agensi penyelamatan yang lain termasuk pihak bomba, polis, Angkatan Pertahanan Awam (APM, Radio Emergency Drone Sarawak (REDS) dan Jabatan Perikanan Laut Sarawak (JPLS).
Pada hari pertama operasi SAR, Isnin lalu, pasukan SAR telah menjumpai bot milik mangsa dalam keadaan terdampar di kawasan belakang Damai Golf Club sekitar pukul 1 petang.
Dua jam setengah kemudian, pasukan SAR menjumpai objek berwarna oren yang hanyut berdekatan pokok nipah dipercayai tong ikan.
Turut dijumpai di sekitar kawasan pencarian adalah beg dipercayai milik mangsa. – K! ONLINE