fbpx

‘Dia boleh datang makan durian sebelum campak ayah’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN Proton Waja milik Sabari (Gambar kecil) yang ditemukan terbakar di tapak pembuangan sampah di Sik pada 20 September lalu.

JITRA – Anak bongsu Sabari Baharom, 62, tidak menyangka layanan baik bapanya kepada suspek yang juga seorang kontraktor sejak lima bulan lalu berakhir dengan kekejaman apabila sanggup mencampak pesara Felcra itu ke dalam sungai.

Muhammad Amir Hakimi, 25, berkata, suspek dikatakan me­lakukan kerja-kerja pembinaan sebuah rumah berdekatan kediaman bapanya di Baling.

Katanya, dia tidak pernah berbual dengan suspek dan hanya melihatnya dari jauh selain difahamkan lelaki itu berasal dari Jitra dekat sini.

“Walaupun baru empat hingga lima bulan buat rumah, ayah layan dia dengan baik. Saya hilang kata-kata apabila dia sanggup buang (dalam sungai) sedang­kan ayah sangat baik kepadanya dan tidak tahu dia ada niat jahat.

“Saya percaya mungkin suspek sudah lama memerhatikan pergerakan ayah sebelum bertindak sedemikian termasuk dipercayai mengambil sejumlah wang serta kad bank ayah,” katanya.

Muhammad Amir Hakimi berkata, perbuatan suspek terhadap ba­panya sangat kejam apabila sanggup mencampakkan lelaki itu ke dalam sungai dipercayai ketika masih bernyawa.

“Perbuatannya pada ayah ini sa­ngat keterlaluan, ayah saya sangat baik dengan dia (suspek). Dia boleh datang makan buah belimbing dan durian di rumah dan ayah tidak pernah minta duit. Orang lain pun ada datang makan durian percuma sahaja,” ujarnya.

Bercerita lanjut, katanya, kehilangan bapa dalam keadaan tragis dan mengejutkan itu sangat meruntun hatinya serta dua kakak, Suraiya Izzaty, 29, dan Nur Aina Sofiya, 28.

“Sebagai satu-satunya anak lelaki, saya kena kuat terutama dari­pada segi emosi memandang­kan kakak sulung saya masih dalam pantang. Saya pun rasa sedih tetapi kena kuat kerana kalau saya menangis nanti, habislah runtuh semua,” luahnya.

Menurut Muhammad Amir Hakimi, mereka tiga beradik terutama Suraiya Izzaty sangat rapat dengan bapa.

“Kakak sulung yang masih dalam pantang itu sanggup memandu kereta dan membawa bayinya yang masih kecil keluar mencari ayah di merata tempat.

“Cuba bayangkan bagaimana bimbang dan tidak keruannya kami tiga beradik ketika itu. Sekarang ini harapan kami supaya jasad ayah dapat ditemui segera,” ujarnya.

Katanya, dia berharap bapa­nya ditemui dan dapat dikuburkan dengan sempurna seperti orang lain.

“Sekurang-kurangnya adalah kubur ayah untuk kami ziarah nanti,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI