LONDON – Para peminat Arsenal mampu menarik nafas lega apabila bakal menyaksikan kelibat pemain baharu mereka, Mikel Merino yang belum melakukan debut ekoran kecederaan sebelum ini.
Bekas pemain Real Sociedad itu mengalami kecederaan ketika sesi latihan sebelum musim bermula, namun kini dilihat sudah kembali menjalani latihan di London Colney semalam.
Merino melengkapkan perpindahan ke Emirates dengan nilai £32 juta (RM176.30 juta) untuk memperkuatkan bahagian tengah skuad kendalian Mikel Arteta, namun nasibnya tidak baik apabila mengalami kecederaan baharu ketika sesi latihan pertama bersama pasukan itu.
Insiden pelanggaran bersama pemain pertahanan, Gabriel Magalhaes menyebabkan Merino mengalami keretakan pada bahagian bahu, namun kecederaan sudah pulih dan dia sedang membuat persiapan untuk membuat penampilan pertama.
Arteta dalam sidang media selepas kemenangan 4-2 ke atas Leicester City mengesahkan bahawa Merino semakin hampir untuk menyertai skuad utama Arsenal selain pemain pertahanan, Takehiro Tomiyasu yang mengalami kecederaan lutut juga sudah kembali berlatih.
Bagaimanapun, kelibat Ben White yang beraksi di bahagian pertahanan masih belum membuat penampilan pada sesi latihan berkenaan ekoran mengalami kecederaan pangkal paha dan terlebih dua aksi bersama Arsenal sebelum ini.
Kapten mereka, Martin Odegaard masih kekal diketepikan apabila sedang menjalani proses pemulihan kecederaan buku lali selepas berdepan isu tersebut ketika beraksi bersama Norway pada aksi antarabangsa sebelum ini. – AGENSI