CAMERON HIGHLANDS – Pakar pecut Team dsm-firmenich PostNL, Max Poole mempamerkan kayuhan bertenaga untuk ‘menakluk’ Cameron Higlands pada peringkat ketiga Le Tour de Langkawi (LTdL) sebentar tadi.
Perlumbaan peringkat ketiga bermula dari Taiping ke Cameron Highlands itu, Poole yang mewakili pasukan WorldTeam dilihat mudah mendominasi saingan yang meliputi jarak sejauh 175.7 kilometer (km) dalam tempoh empat jam 24 minit 34 saat (s).
Poole yang memiliki pengalaman berlumba di siri Grand Tour pada Vuelta a Espana (Jelajah Sepanyol) baru ini mengetepikan pencabar Harold Martin Lopez daripada Astana Qazaqstan Team dan Thomas Pesenti (JCL Team UKYO).
Keputusan tersebut menyaksikan Poole berjaya menyarung jersi hijau selepas menjadi pendahulu keseluruhan diikuti Martin Lopez dan Pesenti yang melengkapkan tiga pelumba terbaik ketika ini.
Pemenang Peringkat 2, Matteo Malucelli yang mewakili JCL Team UKYO tidak pulang dengan tangan kosong apabila menyarung jersi jingga (Raja Pecut) selain Poole turut mendapatkan jersi polka dot (Raja Bukit).
Namun, hasrat pelumba Terengganu Cycling Team (TSG), Muhammad Nur Aiman Rosli untuk pertahankan jersi putih selaku pelumba terbaik asia tidak kesampaian apabila dirampas oleh jaguh Jepun, Manabu Ishibashi (JCL Team UKYO). – KOSMO! ONLINE