PUTRAJAYA – Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengambil tindakan berhemah dan munasabah dalam menggunakan kuasa di bawah Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
Menterinya, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Akta 852 yang diwartakan pada 2 Februari lalu mula berkuat kuasa hari ini serentak dengan Peraturan-Peraturan dan Perintah di bawahnya.
Beliau berkata, pihaknya yakin penguatkuasa KKM akan mengambil pendekatan berhemah demi kebaikan dan kesihatan generasi muda.
“Terdapat dua aspek dalam pelaksanaan iaitu serta-merta dan penguatkuasaan pendidikan supaya wujud suasana saling menghormati undang-undang dan hak-hak terutama dalam penjualan produk tembakau rokok elektronik atau vape kepada kanak-kanak bawah umur.
“Kami akui cabaran terbesar adalah mengenalpasti umur dan kesukaran memastikan individu yang membeli produk tembakau itu adalah Orang Belum Dewasa (OBD),” katanya pada sidang akhbar selepas menyempurnakan sambutan menggalakkan Hari Warga Emas peringkat KKM, di sini hari ini.
Katanya, penguatkuasaan serta-merta bermula hari ini adalah melibatkan penjualan produk merokok yang berbentuk permainan dan menarik perhatian golongan kanak-kanak serta remaja bertujuan mengekang kebolehdapatan produk tersebut. – KOSMO! ONLINE