fbpx

Abang ingat Sabari sibuk, rupa-rupanya hilang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail (dua dari kanan) dan ahli keluarga turut mengikuti operasi pencarian Sabari di Sungai Padang Terap di Kampung Lubuk Batu, Jitra hari ini.
JITRA – Abang mangsa pembunuhan, Sabari Baharom sebak apabila ditanya tentang perbuatan kejam suspek sehingga sanggup mencampakkan pesara Felcra itu ke dalam Sungai Padang Terap, Wang Tepus, di sini.
Ismail, 69, berkata, dia hilang kata-kata apabila membayangkan tindakan suspek yang dianggap tidak berperikemanusiaan.
Kali terakhir Ismail cuba menghubungi adiknya pada 4 September iaitu hari mangsa dilaporkan hilang.
“Sabari tidak angkat (panggilan telefon). Selepas itu saya menghantar kiriman WhatsApp kepadanya untuk mengucapkan tahniah kerana mendapat cucu kedua.
“Dia tidak membalas WhatsApp. Saya ingat dia sibuk, selepas itu dia hilang,” katanya ketika ditemui di lokasi pencarian Sabari di Kampung Lubuk Batu hari ini.
Menurut Ismail, dia dan keluarga berharap jasad Sabari ditemui segera.
“Operasi pencarian nampak sukar kerana kes sudah lama dan sungai ini panjang serta berarus deras. Apapun kami akan mengadakan solat hajat agar pencarian Sabari dipermudahkan,” katanya.
Kosmo! Online semalam melaporkan polis mengesahkan Sabari telah dicampak ke dalam Sungai Padang Terap dengan tangan diikat dan mulut ditutup menggunakan pita pelekat.
Ketua Polis Kedah, Datuk Fisol Salleh dilaporkan berkata, jasad mangsa belum ditemui dengan usaha mencari sedang giat dijalankan.
Maklumat itu diperoleh hasil pengakuan dua lelaki berusia 26 dan 38 tahun yang ditahan pada Jumaat lalu.
Sabari dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang, Baling dengan menaiki kereta Proton Waja pada 4 September lalu.
Kehilangan warga emas itu disedari anaknya selepas telefon bimbit dimatikan selain terdapat transaksi pengeluaran wang dari akaun bank milik Sabari.
Kereta jenis Proton Waja dinaiki Sabari kemudian ditemui hangus terbakar di Belantik, Sik. – KOSMO! ONLINE
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI