fbpx

‘Cepat mengah, kuat berpeluh’ – Shaheizy Sam naik berat badan 90kg

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sam sekali lagi mencabar diri demi kepuasan berlakon di layar perak.

PETALING JAYA – Sanggup ‘telan’ makanan tinggi kandungan lemak dan gula, pelakon Shaheizy Sam rela mengorbankan kesihatan untuk segera gemuk demi tuntutan watak dalam filem terbaharu.

Sam atau nama lengkapnya, Shaheizy Sam Abd. Samad, 41, berkata, sepanjang empat bulan mengamalkan pengambilan karbohidrat berat badannya naik daripada 70 kilogram (kg) kepada 90kg.

“Memang sekali lagi saya kena bulatkan semula badan kerana komitmen terhadap sebuah naskhah layar perak yang bakal menjalani penggambaran.

“Sejak beberapa bulan lalu saya paksa diri kerap ambil makanan tidak sihat supaya proses mendapatkan bentuk fizikal dikehendaki cepat nampak.

“Ikutkan saya dah rasa impaknya sebab sekarang cepat mengah, kuat berpeluh selain mudah penat dan mengantuk tetapi tidak mengapalah, demi kerja dan ini pun untuk sementara waktu sahaja,” katanya.

Menurut Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Antarabangsa Asean 2013 (AIFFA 2013) itu, perubahan fizikal sama ada kurus atau gemuk bukan masalah asalkan berdisiplin untuk kekal kepada gaya hidup sihat semula.

Kata Sam, situasi sama dilalui sebelum ini iaitu ketika menjayakan Polis Evo yang memerlukannya berbadan sasa selepas tampil montel dalam filem sebelumnya.

“Fasa kurus ke gemuk dan gemuk ke kurus sudah beberapa kali saya lalui demi tuntutan watak tetapi berkat disiplin serta sokongan insan sekeliling, saya mampu lakukan dan dapat berat badan ideal semula.

“Semua ini perlukan kekuatan mental sebenarnya. Cuma jika kita ada misi dan semangat, tentu sahaja segala rintangan dapat dicapai,” ujarnya.

Selain berbadan besar, Sam juga pernah menguruskan badan untuk watak dalam filem Pinjamkan Hati, dan kembali ‘sado’ untuk filem Polis Evo.

Sebelum itu isterinya, Syatilla Melvin turut berkongsi video perubahan fizikal Sam dan memaklumkan suaminya sedang bersedia untuk muncul dalam filem baharu.

Bahkan, perubahan ketara tersebut turut meraih pujian kakaknya, Datin Seri Zizie Izette yang berkongsi foto terbaru Sam bersama kapsyen bangga dengan kesungguhannya memenuhi tuntutan kerja. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI