SHAH ALAM – Sambutan Hari Akademia perlu dibuat lebih prestij dan setaraf Hari Guru bagi menghargai jasa dan pengorbanan para pensyarah dan pemikir di Institut Pengajian Tinggi (IPT) bermula tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir berkata, perkembangan pendidikan tinggi negara kini telah berkembang lebih pesat dan mempunyai lebih 100,000 tenaga pengajar termasuk pensyarah dan profesor di negara ini.
Katanya, terdapat tiga institusi besar dalam ekosistem pendidikan tinggi iaitu universiti, politeknik dan kolej komuniti.
“Makanya, sudah sampai masa memikirkan bagaimana meningkatkan dari segi prestij Hari Akademia itu dilaksanakan setiap tahun dengan lebih ramai (pensyarah dan profesor), lebih bermakna.
“Jadi, saya telah maklumkan kepada Timbalan Menteri saya (Datuk Mustapha Sakmud) dan Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Tinggi (Prof. Datuk Dr. Azlinda Azman) untuk lihat program besar dengan pengisan bermakna.
“Ini semua bagi memaknakan kehadiran dan pencapaian para pendidik kita selama ini. Saya harap ia dapat dimulai dari sekarang bagaimana bentuk program kita laksanakan nanti,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Terdahulu, beliau merasmikan bulan Akademia peringkat Kebangsaan 2024 dan penyampaian Anugerah Khas Menteri Pendidikan Tinggi (Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif) di Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini.
Hari Akademia disambut setiap 5 Oktober setiap tahun bermula 2019 bagi menghargai jasa dan sumbangan kumpulan akademik di IPT.
Zambry menjelaskan, jasa dan sumbangan para pendidik di IPT perlu disantuni dan dihargai seterusnya mendedahkan golongan tersebut yang sebelum berada di belakang tabir dalam pendidikan dan pembangunan negara.
Dalam pada itu, ketika ucapannya, Zambry memaklumkan, tema tahun ini adalah Transformasi Akademia dengan Kecerdasan Buatan (AI): Masyarakat Madani Berinovasi adalah wajar dengan dunia pendidikan yang kini berubah dengan pantas sekali.
Justeru, pendekatan pendidikan termasuk kurikulum dan kaedah pedagogi serta peralatan perlu seiring dengan perkembangan semasa.
“Di hadapan kita pula lahirnya generasi baharu dengan ada katakan gen Z dan Alpha. Apapun konteks tersebut, generasi itu adalah unik dan mereka mahukan sesuatu yang lebih pantas, hala tuju yang jelas, kaedah pengajarannya melalui kaedah digital yang berbeza dengan sebelum ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE