fbpx

Siling gaji baharu caruman Perkeso berkuat kuasa hari ini

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menguatkuasakan siling gaji baharu bagi caruman daripada RM5,000 kepada RM6,000 bermula hari ini.

Perkeso berkata, penguatkuasaan itu dilaksanakan susulan pindaan Akta Keselamatan Sosial Pekerja 1969 (Akta 4) dan Akta Sistem Insurans Pekerjaan 2017 (Akta 800).

“Langkah meningkatkan siling gaji ini dapat memberi manfaat lebih baik kepada pekerja yang skala gaji melebihi RM5,000 menerusi peningkatan kadar bayaran faedah sedia ada sehingga 20.2 peratus.

“Faedah-faedah itu adalah Faedah Hilang Upaya Sementara (FHUS), Faedah Hilang Upaya Kekal (FHUK), Faedah Orang Tanggungan (FOT), Pencen Ilat dan Penakat di bawah Akta 4 serta Elaun Mencari Pekerjaan (EMP), Elaun Pendapatan Berkurangan (EPB) dan Elaun Bekerja Semula Awal (EBSA) di bawah Akta 800,” katanya.

Menurut Perkeso, mulai 1 Oktober ini, amaun caruman yang akan terpakai bagi pekerja yang bergaji lebih RM5,000 dan RM6,000 sebulan seperti yang dinyatakan dalam Jadual Ketiga, Akta 4 serta Jadual Kedua, Akta 800.

“Sehubungan itu, bayaran caruman bermula 1 Oktober 2024 dan seterusnya hendaklah dibuat oleh majikan mengikut pindaan had siling gaji baharu.

“Majikan diminta untuk mencatatkan jumlah potongan caruman dalam penyata atau slip gaji pekerja masing-masing bagi tujuan rekod dan aktiviti pemeriksaan oleh Perkeso,” katanya.

Sejak penubuhannya pada 1971 sehingga kini, sebanyak enam kali peningkatan siling gaji telah dilaksanakan.

Dianggarkan 1.5 juta pekerja atau hampir 15.5 peratus daripada keseluruhan pencarum Perkeso di seluruh negara terlibat dalam peningkatan siling gaji itu yang merangkumi pekerja tempatan dan pekerja asing.

Langkah proaktif ini diambil selaras dengan kenaikan kos sara hidup dan kos menjalankan perniagaan yang perlu diimbangkan dengan pengagihan faedah serta risiko yang lebih adil kepada pencarum serta orang tanggungannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI