fbpx

4,195 pelajar baharu daftar masuk UUM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd Foad (tengah) pada sidang akhbar pada hari pendaftaran pelajar baharu di UUM, Sintok hari ini.

SINTOK –  Universiti Utara Malaysia (UUM) menerima kemasukan 4,195 pelajar baharu untuk mengikuti 48 program pengajian Sarjana Muda bagi sesi 2024/2025, bermula hari ini.

Naib Canselor UUM, Prof. Datuk Dr. Mohd. Foad Sakdan berkata, kemasukan baharu itu melibatkan majoriti pelajar tempatan lulusan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), diploma, matrikulasi, asasi pengurusan UUM dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).

Katanya, jumlah pelajar perempuan yang mendaftar adalah seramai 2,977 orang manakala pelajar lelaki seramai 1,218 orang.

“Secara keseluruhannya terdapat 4,061 pelajar tempatan yang mendaftar kali ini dengan 3,860 daripadanya merupakan ambilan menerusi UPU manakala 201 pelajar lagi, merupakan lepasan asasi pengurusan UUM.

“Kami turut menerima pendaftaran 134 pelajar antarabangsa kali ini. Seramai 77 daripadanya merupakan pelajar peringkat Sarjana Muda terdiri daripada 64 rakyat Indonesia, 12 China dan seorang Bangladesh manakala 57 lagi adalah pelajar mobiliti dari Brunei, Indonesia, Jepun, Perancis, dan China,” katanya.

Tambahnya, program Sarjana Muda Perakaunan Dengan Kepujian menerima kemasukan terbesar iaitu seramai 315 pelajar diikuti Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan dengan Kepujian yang menerima kemasukan 236 pelajar.

“Seperti tahun-tahun sebelumnya, kami turut menerima kemasukan daripada pelajar-pelajar orang kelainan upaya (OKU) dan Orang Asli. Kali ini, seramai 13 OKU dan Orang Asli telah mendaftar untuk mengikuti pengajian di sini.

“Keseluruhannya hingga ke hari ini, jumlah pelajar UUM adalah seramai 30,149 orang iaitu 24,671 di peringkat pengajian sarjana muda dan 5,478 pasca siswazah,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI