PETALING JAYA – Ramai yang meluahkan rasa kecewa apabila status semakan mereka didapati gagal memenuhi syarat kelayakan menyertai program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh.
Semakan Kosmo! di media sosial mendapati, ramai berkongsi tangkap layar semakan yang dibuat menerusi aplikasi MyJPJ dan keputusannya adalah “Anda tidak layak menyertai program ini”.
Dalam pada itu, rata-rata pengguna yang gagal ini menyuarakan satu persoalan adakah mereka akan terus tidak layak untuk memiliki lesen B penuh memandangkan program untuk mendapatkannya sudah tidak dilaksanakan di institut memandu.
“Kalau dah tak layak ini, maknanya sampai bila-bila tak layak? Atau kami diberikan opsyen lain untuk memiliki lesen B penuh?,” soal Ahmad Ilham.
Sementara itu, ramai yang memetik nama Kementerian Pengangkutan (MOT) dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) untuk memberi penjelasan berkaitan situasi tersebut.
Terdahulu, Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, mulai 1 Oktober, tiada lagi program mendapatkan Lesen Memandu Malaysia (LLM) kelas B1 di institut memandu (IM) akan dibuka kepada orang ramai.
“Dengan mendapatkan LMM motosikal kelas B, individu layak memandu semua kuasa (cc) motosikal dan tidak terhad kepada motosikal berkuasa 499cc ke bawah saja bagi kelas B1.
“Bagi pemegang lesen B1 sedia ada, mereka akan kekal dalam kategori berkenaan atau boleh menjalani program khas berkenaan bagi mendapatkan lesen kelas B,” katanya.
Syarat program peralihan khas untuk mendapatkan lesen B penuh adalah pemohon perlu memiliki LLM kelas B1 atau B2 secara aktif berterusan untuk minimum 10 tahun.
Ia bertujuan memastikan tahap kompetensi serta pengalaman pemanduan kenderaan motosikal bagi mana-mana individu sebelum beralih kepada motosikal berkuasa besar.
Seterusnya, pemohon hendaklah bebas daripada sebarang senarai hitam, tunggakan saman, sekatan urus niaga, rekod sabitan kesalahan berat, atau apa-apa perkara yang belum selesai bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333). – KOSMO! ONLINE