KUALA LUMPUR – Seorang peniaga mi wantan didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan menipu rakannya berhubung pelaburan produk minuman kurus berjumlah RM66,000, dua tahun lepas.
Tertuduh Leong Lai Peng ,44, bagaimanapun mengaku tidak bersalah bagi pertuduhan itu di hadapan Majistret Illi Marisqa Khalizan.
Lai Peng didakwa memperdaya pekerja kedai makan berusia 38 tahun dengan menawarkan pelaburan yang tidak wujud sehingga mangsa menyerahkan wang RM66,000 kepada tertuduh.
Kesalahan itu dilakukan di sebuah restoran di Kepong Baru di sini pada 2 Julai 2022 dan 9 Jun 2023. Oleh itu dia didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebatan serta denda.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Syafika Azwa Fikri menawarkan jaminan RM20,000, bagaimanapun peguam V. Annamalai memohon jaminan dikurangkan dengan alasan ini merupakan kesalahan kali pertama anak guamnya.
“Tertuduh bekerja sebagai peniaga mi wantan di medan selera dengan dibantu suaminya. Oleh itu, pihak kami memohon jaminan rendah kerana jaminan RM20,000 adalah terlalu tinggi,” katanya.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua belah pihak, Majistret Illi Marisqa membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin. Tarikh 6 November ini ditetapkan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen. – KOSMO! ONLINE