fbpx

Suspek kes bunuh Muhammad Sharqawi dituduh esok

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan.

PETALING JAYA – Seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes bunuh pereka dalaman, Muhammad Sharqawi Abu Bakar, 36, akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Ja’afar berkata, suspek yang bakal dituduh merupakan seorang penganggur berusia 50 tahun.

“Untuk makluman, seorang suspek kes bunuh pereka dalaman akan dituduh di Mahkamah Petaling Jaya esok.

“Suspek, 50, tidak mempunyai pekerjaan. Hasil siasatan setakat ini mendapati suspek memecah masuk untuk mencuri namun disedari si mati maka berlaku pergelutan yang membawa kematian,” katanya kepada pemberita hari ini.

Terdahulu Kosmo! melaporkan seorang pereka dalaman ditemui tidak sedarkan diri dengan 20 kesan tikaman pada anggota badannya di sebuah apartmen di Persiaran Meranti, Bandar Sri Damansara, Petaling Jaya, awal pagi 16 September lalu.

Jiran mangsa bertindak membuat laporan polis selepas mendengar suara pergaduhan antara mangsa dan seorang individu, kira-kira pukul 11 malam.

Pada 21 September lalu, polis menahan tiga suspek warga tempatan berusia antara 50 hingga 61 tahun yang mempunyai sembilan rekod lampau jenayah serta 14 rekod dadah di sebuah pangsapuri di Kuala Lumpur.

Ketiga-tiga suspek yang merupakan rakan serumah itu tidak mengenali mangsa.

Pihak polis percaya salah seorangnya adalah pelaku jenayah tersebut dan dapat menyelesaikan kes bunuh ini. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI