BEAUFORT – Penyanyi veteran, Datuk Khadijah Ibrahim cedera selepas kereta pacuan empat roda dinaiki terlibat dalam kemalangan jalan raya petang tadi.
Difahamkan, beliau dalam perjalanan dari Brunei Darussalam ke Kota Kinabalu sebelum terbabit kemalangan kira-kira pukul 5.28 petang berhampiran Taman Kinamas, Jalan Beaufort – Kota Kinabalu.
Dilaporkan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux dinaiki Khadijah bertembung dengan sebuah Toyota Avanza.
Turut cedera dalam kenderaan sama adalah Baharuddin Hassan, 70 dan Kharnita Adrianti Aminudin, 40.
Bagaimanapun, penyanyi yang mesra disapa Khaty itu kini dilaporkan dalam keadaan baik dengan ketiga-tiga mereka dapat keluar sendiri dari kenderaan sebelum ketibaan anggota bomba yang dikejarkan untuk membantu mangsa.
Khadijah dipercayai memandu kenderaan terbabit dilaporkan hanya mengalami kecederaan di tangan.
Beliau juga sempat memaklumkan kepada anggota bomba dan polis yang tiba di lokasi kejadian mengenai konsertnya yang bakal diadakan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) pada 1 November depan.
Selain itu, pemandu dan penumpang kereta Toyota Avanza yang dikenali sebagai Liaw Lee Jin, 30 dan Fong Pak Man, 60 juga dilapor cedera.
Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Mohd Hasbullah Nenggok, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada pukul 5.29 petang tadi sebelum seramai 10 anggota dikejarkan ke lokasi bersama jentera.
“Komander Operasi sejurus tiba melaporkan kemalangan membabitkan dua buah kenderaan, iaitu kereta Toyota Hilux bertembung dengan kereta Toyota Avanza.
“Terdapat lima orang mangsa terlibat dan berjaya keluar sendiri sebelum ketibaan Pasukan Bomba di lokasi kejadian.
“Dua orang mangsa di dalam kenderaan Toyota Avanza dan tiga orang mangsa dalam kenderaan Toyota Hilux dihantar ke Hospital Beaufort oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.