MELAKA – Seramai tujuh individu diberkas polis selepas disyaki merompak sebuah rumah bersenjatakan parang dan mencederakan dua penghuni dalam kejadian di Kampung Bukit Larang, Pernu, di sini, Khamis lalu.
Kesemua suspek termasuk seorang wanita berusia antara 20 hingga 30 tahun itu ditangkap kira-kira pukul 10 malam hari yang sama sehingga 12.30 tengah malam di sebuah Villa di Jalan Parit Pendekar, Sebatu, Merlimau.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, laporan telah dibuat oleh pengadu berusia 19 tahun mendakwa rumahnya telah dirompak sekumpulan lelaki dengan salah seorang suspek merupakan kenalan bapanya sendiri.
Katanya, sebelum kejadian pengadu memberitahu mendengar suara seorang wanita iaitu kenalan ibunya memberi salam di hadapan rumah kira-kira pukul 2.30 pagi, namun dia tidak membuka pintu.
“Suami pengadu kemudian melihat wanita itu beredar menaiki kereta Myvi berwarna putih sebelum seorang lelaki pula datang memberi salam, namun keluarga itu tetap tidak membuka pintu.
“Lelaki tersebut bagaimanapun bertindak memecahkan pintu kayu sebelah tepi dan sekumpulan individu memecah masuk ke dalam rumah lalu menuju ke bilik bapa serta ibu pengadu dengan salah seorang suspek adalah kenalan bapanya dikenali sebagai Ai Imran,” katanya kepada pemberita, hari ini.
Ujarnya lagi, suspek Ai Imran didakwa telah memukul bapa pengadu di dahi, pipi dan belakang badan menggunakan kayu cota serta mengambil beg dompet yang mengandungi kad bank.
“Ibu pengadu juga cedera ketika cuba menghalang suaminya dipukul. Pengadu kemudian memberanikan diri bertanya motif kejadian dan salah seorang suspek yang memegang parang berkata mereka mencari individu digelar ‘Black’ berkenaan kes rogol perempuan bernama Nabila Aiza Amat Tobenyei.
“Seorang lagi suspek yang memegang parang kemudian telah pergi ke bilik pengadu dan mengacukan senjata itu ke perut serta leher suaminya sebelum mengambil dua utas jam tangan serta wang anggaran di dalam dompet RM100.
“Kesemua ahli keluarga itu kemudian diarahkan berkumpul di ruang tamu dan suspek mengambil telefon bimbit milik pengadu serta bapanya jenis Iphone XS serta Oppo A15 sebelum beredar pada pukul 4.20 pagi,” katanya.
Tambah Christopher, hasil soal siasat, seorang suspek lelaki berusia 30 tahun dan Ai Imran, 29, mengaku terlibat dalam rompakan bersenjatakan parang serta besi di rumah berkenaan, manakala suspek lain menafikannya.
Katanya, hasil ujian air kencing dilakukan ke atas kesemua suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan mempunyai antara dua sehingga lapan rekod lampau. Kini, kesemua mereka ditahan mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan. -KOSMO! ONLINE.