PETALING JAYA – Titijaya Land Berhad (Titijaya) mengumumkan Press Metal Aluminium Holdings Berhad (Press Metal) sebagai pelanggan pertama bagi Kediaman dan Penginapan Pekerja (HALO), projek kuarters pekerja berpusat (CLQ) Kumpulan di Klang Sentral.
Titijaya PMC Sdn. Bhd., anak syarikat Kumpulan, menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan PMB Aluminium Sdn. Bhd., anak syarikat Press Metal hari ini, yang menjadi asas kepada perjanjian sewa jangka panjang antara kedua-dua pihak.
Di bawah terma MoU tersebut, PMB Aluminium akan menyewa sebahagian daripada HALO untuk tempoh minimum tiga tahun bagi menampung sekurang-kurangnya 350 pekerjanya.
Pembangunan HALO menyediakan penginapan pekerja yang lestari dan selesa untuk industri di kawasan sekitar, mencerminkan fokus utama Titijaya dalam memenuhi permintaan untuk pembangunan hartanah yang mematuhi prinsip alam sekitar, sosial, dan tadbir urus (ESG).
Pembinaan pembangunan khas setinggi 10 tingkat yang mampu menampung 3,000 pekerja itu dijangka bermula pada tahun kewangan 2025 dan siap sepenuhnya pada tahun 2026.
Ia akan mematuhi piawaian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO), Akta Standard Minimum Perumahan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) yang digariskan oleh Kerajaan Malaysia serta piawaian antarabangsa yang ditetapkan oleh Responsible Business Alliance (RBA).
Pengarah Urusan Kumpulan Titijaya, Datuk Lim Poh Yit berkata, pihaknya berbesar hati untuk mengumumkan Press Metal, yang merupakan pengeluar aluminium terbesar di Asia Tenggara sebagai pelanggan pertama untuk HALO, projek CLQ Kumpulan yang akan datang.
“HALO akan menyokong keperluan penginapan pekerja Press Metal pada masa kini dan akan datang sambil meningkatkan kebajikan pekerja mereka, selari dengan amalan terbaik ESG.
“Sebagai projek infrastruktur penting yang memanfaatkan pertumbuhan pesat sektor perindustrian di Lembah Klang, HALO berpotensi membuka aliran pendapatan berulang untuk Kumpulan. Ini akan mempelbagaikan asas pendapatan kami dan menyumbang kepada momentum pertumbuhan positif kami,” katanya dalam kenyataan hari ini. – KOSMO! ONLINE