PETALING JAYA – Baru beberapa minggu pencipta kandungan YouTube, IShowSpeed datang ke Malaysia, kini tular dakwaan topi keledar yang dipakai oleh lelaki itu dijual semula sehingga bernilai ratusan ribu ringgit.
Melalui sebuah hantaran di Facebook, sebiji topi keledar jenama MS88 yang dikatakan dipakai oleh IShowSpeed semasa di Malaysia dijual sehingga mencecah RM250,888.
Carian di laman Facebook juga mendapati terdapat sebiji lagi topi keledar didakwa pernah dipakai oleh pempengaruh itu yang dijual dengan harga RM250.
Tinjauan di ruangan komen mendapati rata-rata pengguna terkejut melihat harga yang ditetapkan bagi topi keledar tersebut.
“Bila orang kata taksub marah, tak habis-habis ulang pasal dia tunjuk kat dunia pasal negara dia lawat sedangkan dia datang sini bukan diperkenalkan tradisi Malaysia pun,” kata Fyrus.
“Dia siapa? Apa jasa dia pada negara sampai begini sekali nak jual semula barang yang dia pernah pakai?,” soal Khidir.
“Jangan biasakan mentaliti begini dekat Malaysia. Berpada-pada kalau nak minat seseorang sekali pun,” tegur Fariha. – KOSMO! ONLINE.