fbpx

Joe, MC Syze bikin ubat 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MC SYZE dan Joe Flizzow.

PENYANYI rap, MC Syze kembali menghulurkan salam perkenalan buat khalayak. Tidak bersendirian, kali ini dia memilih teman nyanyian yang bukan calang-calang, seorang ikonik dunia rap Malaysia iaitu Joe Flizzow menerusi buah tangan baharu bertajuk Selamba.

Karya berkenaan disifatkan sebuah kombinasi menarik bukan sahaja dari segi vokal bahkan dari segi teknik rap itu sendiri. Kata Syze atau nama sebenarnya Ashish Rajahser, kaedah nyanyiannya lebih santai, manakala Joe bergerak dengan konsep yang lebih tegas.

Kehadiran single berjudul Selamba merupakan penyuluh buat Syze yang namanya disebut tepat sebagai ‘saiz’. Biarpun terlewat 14 tahun untuk muncul sebagai penyanyi tetapi juga sebagai remedi berbentuk muzik untuk dipersembahkan kepada khalayak.

JOE dan MC Syze menyifatkan muzik boleh menjadi penawar untuk banyak perkara. Mereka juga menyifatkan Selamba sebagai satu daripada penawar yang hebat untuk mengakhiri 2020 dan pembuka yang baik untuk tahun 2021.-SHIDDIEQIIN ZON

“Segalanya tentang Joe merangkumi perkataan selamba dan memang kena betul dengan karakternya.

“Cara Joe menulis juga tidak terlalu sukar. Senang untuk pendengar dan masyarakat hadam dan menyanyikan semula,” ujar Syze mengenai penyatuan mereka.

Buat penyanyi rap yang berusia 39 tahun itu, dia punya misi tersendiri melalui Selamba. Bukan sahaja buat dirinya tetapi mengalirkan sesuatu buat masyarakat yang berhadapan masa-masa sukar.

Dia bukan hanya bangun sendiri tetapi juga mahu turut semua ikut bangun dari sudut semangat dan rasa.

“Ini merupakan kelahiran semula yang tepat untuk saya. Tahun 2020 merupakan zaman yang buruk untuk semua orang. Menurut saya, kita semua telah melalui tahun kegelapan dan harapan saya agar kemunculan ini dapat memberikan cahaya.

“Joe juga menyatakan muzik merupakan penawar dan dapat menyembuhkan. Itu sebabnya saya buat lagu ini,” ujar penyanyi yang pernah muncul dengan lagu bertajuk Dancing pada tahun 2004 itu.

Pemilihan kata Selamba dirasakan tepat dengan situasi pembuatan lagu dan kemudian bermatlamat sebagai pemulihan semangat untuk 2021.

“Selamba menurut saya tidak mempunyai maksud yang tertentu, bagaimanapun tertakluk kepada konteks dan bagi saya Selamba lebih ke arah santai, tenang tetapi sangat fokus. Kenapa saya mengangkat Selamba, ini kerana saya lihat ramai orang yang tersekat dengan depresi dan tekanan lebih daripada mencari solusi.

“Set minda perlu ditukar menjadi gelombang selamba dan mencari penyelesaian masalah,” tambahnya.

Dahulu, Syze merasakan tiada perkembangan dalam kariernya, kini apabila dia beradaptasi dengan ‘gelombang selamba’, dia menjadi lebih fokus. Sudah tiba masanya dia mengenal pasti masalah dan mencari penyelesaian.

Joe Flizzow pula miliki perspektif tersendiri apabila dengan selambanya menawarkan diri untuk menulis dan mengiramakan bahagiannya dalam lagu yang turut mendapat sentuhan daripada Sleeq tersebut.

JOE mengakui penglibatannya dalam lagu Selamba berlangsung dalam suasana yang cukup santai tanpa sebarang desakan.

“Saya ingat lagi, waktu itu Syze dan saya berada di studio. Saya dengar dan terus minta tulis bahagian rap lagu ini. Saya kata beri saya masa 5 minit.

“Apabila sudah siap, saya terus mahu rekodkan bahagian rap,” ujarnya tentang momen selamba penghasilan lagu Selamba.

Malah, menurut Joe, ramai yang mahu melihat kehadiran semula Syze. Menurutnya, petinju Mike Tyson juga membuat kemunculan semula pada usia 54 tahun, jadi tidak salah untuk Syze muncul tahun ini dengan buah tangan yang baik.

“Pada akhirnya sesebuah lagu kena sedap, tidak kiralah dengan siapa kita menyanyi. Kekuatan lagu ini terletak pada melodi dan merupakan sesuatu yang segar untuk industri. Lagu ini mempunyai elemen R&B dan rap. Boleh saya katakan bahawa genre R&B sudah semakin kurang di Malaysia dan lagu ini memang sesuatu,” ulas Joe tentang Selamba.

Tambah mereka berdua berselang-seli: “Ini merupakan kombinasi yang sesuai dan lagu ini senang didengar. Sebuah lagu yang ceria untuk mengakhiri 2020 dan menjadi pembuka yang baik untuk 2021.

“Muzik selalu menjadi penawar untuk banyak perkara. Selamba, kami rasakan satu penawar yang hebat untuk mengakhiri 2020.”

MC SYZE mengakui membesar dengan mengikuti dan mendengar lagu-lagu Too Phat. Baginya seorang ikon dalam industri, malah idola ramai orang termasuk dirinya.- SHIDDIEQIIN ZON

Penyatuan komuniti hip hop

Bukan sahaja persembahan audio yang menggegarkan rasa, malah MC Syze turut menawarkan visual cantik berkonsep filem pendek dalam muzik video lagu tersebut.

Muzik video yang telah ditayangkan secara perdana pada 18 Disember lalu menerusi YouTube MC Sye merupakan ATG yang sedang membina gelombang industri dengan visual dan kerja kreatif untuk artis-artis seperti Zamaera dan LuqmanPodolski.

Muzik video berdurasi 5 minit 10 saat tersebut turut menampilkan SonaOne, Darren Ashley, Orumari dan Azique Beats.

Bermula dengan lagu yang dimuatkan dalam album hinggalah ke pembikinan muzik video, Syze sepertinya kembali menjalinkan kemesraan komuniti hip hop dalam balutan persahabatan dan muzik.

“SonaOne cadangkan saya bercakap dengan Alif Sleeq untuk memantapkan lagi Selamba. Dia cadangkan saya e-mel lagu dan tengok apa yang Alif boleh bagi. Tak sampai 45 minit lagu dihantar, Alif telefon dan bekerjasama dengan saya,” ujarnya gembira.

“Ini menunjukkan bahawa komuniti hip hop seperti sebuah keluarga. Ada perkara yang tak dirancang tetapi dapat dilaksanakan. Ini juga menunjukkan bahawa sepanjang musim Covid-19 pun ada yang boleh dikerjakan. Alif dari Singapura beri kerjasama, malah Zameera juga turut mengisi suara latar lagu ini,” ujar Joe.

Seorang penghibur yang mantap, Syze turut membina portfolio tersendiri di Malaysia dengan kehadirannya di pentas berprestij.
Syze muncul sebagai artis pembuka untuk persembahan Kanye West (Amerika Syarikat) di Kuala Lumpur, Missy Elliot (Amerika Syarikat) di Genting Highlands, Nas (Amerika Syarikat) di Bangkok, The Roots (Amerika Syarikat)) di Bukit Kiara dan banyak penghibur hip-hop antarabangsa lain sepanjang 16 tahun hayat kariernya.

Bahkan Syze pernah tampil di penjara keamanan di Jakarta, Indonesia yang disebut Cipinang Penitentiary Institution dalam pertunjukan hip-hop anti-dadah pertama yang mempamerkan penghibur dari seluruh Asia Tenggara.

Syze bersama DJ Biggie dan rapper Dan $hiv menghasilkan lagu Harimau Malaya untuk pasukan bola sepak Malaysia yang masih mendapat siaran menerusi radio setiap kali pasukan bola sepak Malaysia muncul sebagai pemenang.

Selain single, Syze juga mahu merangkumkan semua keunikan pelbagai budaya melalui album perdananya kelak yang diberi judul Syze Does Matter.

Album berkenaan turut memaparkan nama besar dalam industri muzik Tamil tempatan iaitu Psychomantra.

Lagu yang diberi judul Salasalapu menangani masalah sosial dan memberi fokus terhadap penyebaran naratif positif dan akan mempunyai video animasi sepenuhnya oleh Kensmen Film Squad yang berpangkalan di Chennai, India.
“Saya mahu pamerkan kebolehan yang saya ada. Segala yang saya tahu adalah muzik. Keghairahan saya menunjukkan ke arah ini, muzik.

“Dahulu saya tidak bersedia walaupun sudah ada momentum tetapi tidak tahu bagaimana mahu buktikan,” ujarnya yang bersemangat untuk menghadiahkan album penuh miliknya pada awal 2021.

“Syze memang ada sesuatu yang mahu dibuktikan,” celah Joe di hujung perbualan.

VIDEO muzik lagu Selamba menjalani penggambaran di sekitar Bukit Antarabangsa dan Brickfields.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI