fbpx

SPRM selamatkan wang negara, heret penjenayah rasuah ke mahkamah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azam Baki

TARIKH 1 Oktober hari ini merupakan genap usia 57 tahun Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), yang sebelum ini dikenali sebagai Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika ditubuhkan pada 1967, sebelum diganti nama pada 2009.

Sepanjang tempoh tersebut, banyak kejayaan telah dicapai, selain penambahbaikan strategi dan metodologi penyiasatan, peningkatan kadar pendakwaan, pengukuhan dasar integriti serta tatakelola termasuk peningkatan kesedaran awam terhadap rasuah dilaksanakan oleh SPRM.

Dengan peredaran zaman ditambah teknologi kian canggih menjadikan jenayah rasuah sema­kin kompleks. Ia menjadi titik tolak kepada Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki apabila beliau memfokuskan untuk mengurangkan ketirisan sewaktu dilantik menerajui suruhanjaya itu pada tahun 2020.

“Jika dibandingkan dengan lima tahun lalu, banyak perubahan berlaku. Contohnya selepas pandemik Covid-19 berakhir, kita nampak kesan kepada masalah ekonomi yang membuatkan kita semua terasa impaknya.

“SPRM perlu membuat pendekatan dan strategi berbeza ke­rana kita perlu bantu negara me­ningkatkan ekonomi, apa lagi untuk mengurangkan rasuah,” katanya semasa wawancara sempena ulang tahun ke-57 SPRM.

Beliau berkata, berikutan itu, tiga sektor diberi tumpuan oleh SPRM iaitu penguatkuasaan, perolehan serta rasuah skala besar (grand corruption) yang menyebabkan ketirisan dan kehilangan dana serta wang negara mencecah berbilion ringgit.

“Kita lihat bagaimana kes yang hendak ditangani. Bagi kes kecil, kita serahkan semula kepada jabatan untuk mengambil tindakan. Misalnya polis sendiri ada Jabatan Integriti dan kami turut bekerjasama.

“Sekiranya kes berprofil tinggi dan ada kepentingan awam, kami menjalankan siasatan. SPRM me­numpukan kes yang ada kepen­tingan awam, isu negara, sindiket jenayah atau perlakuan melibatkan segerombolan penguat kuasa,” jelasnya.

Hasilnya SPRM dapat memulangkan berbilion wang negara, antaranya kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang setakat ini, badan tunggal bebas itu berjaya memulihkan aset berjumlah RM29 bilion atau hampir 70 peratus wang yang diselewengkan menggunakan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram.

Dalam masa sama, corak jenayah rasuah pada masa kini dilihat semakin kompleks dan merentas sempadan apabila penjenayah turut memanipulasi teknologi, termasuk menggunakan mata wang maya seperti bitcoin, ethereum dan sebagainya bagi menyorok jejak kewangan (money trail).

Azam berkata, SPRM mengambil langkah ke hadapan antaranya mengembangkan teknik dan metodologi penyiasatan, misalnya Intelligence Based Investigations (IBI), selain menghantar pegawai bagi meningkatkan kepakaran penggunaan teknologi serta ilmu penyiasatan.

Menurutnya, SPRM menerusi Bahagian Forensik Teknologi (BFT) mempunyai kepakaran dan dilatih secara berkala untuk melaksanakan forensik seperti mengesan jejak kewangan serta transaksi pe­ngubahan wang haram.

“Pendekatan siasatan kami kena ‘go beyond’, maknanya perlu ada pegawai terlatih, berkemahiran dalam perisikan, ditambah penggunaan perisikan lebih canggih dalam memastikan penyiasatan lebih berkesan di samping pakar-pakar tertentu.

“Bahkan kita tidak bekerja secara sendiri dan ada kes, kita bekerjasama dengan jabatan dan agensi lain untuk mengambil tindakan secara bersama.

“Contohnya mengesan penjenayah mengeksploitasi minyak bersubsidi yang menyebabkan kerajaan rugi RM400 juta selama 12 tahun. Ini ketirisan besar dan SPRM tidak boleh bertindak begitu sahaja sekali gus memerlukan kerjasama dan tindakan yang lain,” katanya.

Langkah ini mendatangkan kejayaan apabila rekod statistik me­nunjukkan, seramai 2,193 individu dituduh di mahkamah sepanjang lima tahun ini yang mana mengikut pecahan ialah 2020 (480), 2021 (525), 2022 (390), 2023 (446) dan 2024 (352).

Bagi jumlah sabitan pula seba­nyak 1,103 direkodkan merangkumi 2020 (190), 2021 (300), 2022 (255), 2023 (185) dan 2024 (173).

Menyentuh tentang sektor penguatkuasaan, Azam menegaskan, penguat kuasa adalah barisan hadapan (frontliners) negara yang mana tugasan mereka termasuk berurusan secara langsung dengan orang awam dan warga asing.

“Dalam kalangan penguat kuasa jika ada yang korup, persepsi orang awam ialah hampir semua terlibat rasuah. Malang bagi negara sekiranya terdapat penguat kuasa bertugas di bahagian pintu masuk negara yang mengambil rasuah,” tegasnya.

Sehubungan itu, SPRM menjalankan beberapa operasi antaranya Op Samba melibatkan penyeludupan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Op Transit iaitu kegiatan penyeludupan di Pelabuhan Klang, Op Pump membabitkan sindiket membawa masuk warga asing di KLIA merangkumi tangkapan pegawai imigresen serta individu berkaitan dan Op Liter membabitkan penyelewengan diesel bersubsidi.

Sementara itu, bersempena sambutan ulang tahun ke-57 SPRM, Azam menegaskan sekali lagi bahawa SPRM akan meneruskan strategi pembanterasan rasuah dengan memberi fokus kepada penguatkuasaan, perolehan dan ‘grand corruption’ dalam membantu ekonomi negara.

“Dari segi cara bertindak, kaedah dan kepakaran yang kita ada, saya telah arahkan pegawai menghadiri kursus dalaman selain didedahkan kepada kursus luar terma­suk antarabangsa.

“Saya menggambarkan seolah-olah masa tidak mencukupi untuk kita memenuhi permintaan awam. Kita kena cepat dalam hal ini, jadi pegawai SPRM perlu bersiap siaga dalam menangani apa sahaja isu-isu jenayah rasuah pada masa akan datang,” ujarnya.

Bahkan katanya, SPRM akan melaksanakan transformasi terhadap struktur organisasinya iaitu penambahbaikan terhadap pendekatan penugasan dan memperkasakan fungsi serta peranan setiap bahagian agar lebih efektif dalam menjalankan tugas. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI