PETALING JAYA – Berpura-pura sebagai orang kelainan upaya (OKU) menjadi taktik seorang lelaki untuk meraih simpati bagi tujuan berniaga.
Perkara itu didedahkan menerusi perkongsian video di laman X dipercayai dirakam oleh orang awam, namun lokasi sebenar tidak dapat dipastikan.
Video berdurasi 22 saat itu memaparkan seorang lelaki berlakon sebagai OKU dengan menaiki kerusi roda elektrik.
Bagaimanapun, individu berkenaan dilihat mampu berdiri dan tidak mempunyai sebarang kecacatan ketika mengemas barangannya.
Lelaki itu yang mengenakan kopiah turut dilihat menaiki sebuah kereta jenis Perodua Alza sebelum beredar dari lokasi terbabit.
Sehubungan itu, rata-rata ramai mengecam tindakan tersebut dan menyifatkannya sebagai tindakan yang tidak bertanggungjawab.
“Boleh pakai Alza, hebat juga marketing dia. Ramai ya pelakon di Malaysia,” ujar Rizzler.
“Macam apa perangai. ‘Visual marketing’ hebat, siap lengkap pakai kopiah,” kata Afni.
“Kalau aku nampak, aku minta duit balik. Tak kira lah nak kata buruk siku ke apa,” jelas Imdnan.
“Orang macam ini memang aku doakan agar OKU betul-betul. Orang OKU pun kalau boleh nak jadi normal, nak kerja,” luah Hafidz. – KOSMO! ONLINE.