BERMAIN di laman sendiri bukan tiket buat Johor Darul Ta’zim (JDT) untuk terlalu yakin untuk meraih kemenangan pertama dalam saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) menentang Shanghai Shenhua FC, kata pengendalinya, Hector Bidoglio.
Menurut jurulatih kelahiran Argentina itu, JDT perlu memberi tumpuan penuh pada perlawanan itu terutama apabila lawan mereka itu mahu mengekalkan rentak kemenangan setelah menewaskan pasukan Korea Selatan, Pohang Steelers 4-1 pada aksi pembukaan ACLE.
Katanya, pemain perlu kekal disiplin dan tidak boleh gopoh kerana pasukan lawan mempunyai kekuatan tersendiri dan menjadikan ‘set piece’ sebagai aset untuk memburu gol.
“Mereka mempunyai ramai pemain yang tinggi dan memanfaatkan kelebihan tersebut menerusi ‘set piece’ untuk mencipta jaringan. Pemain perlu bersedia untuk bertarung dengan pemain lawan bagi memenangi perebutan bola di udara.
“Bagaimanapun, kita tidak mahu terlalu fokus mengenai Shanghai Shenhua sebaliknya menumpukan kekuatan kita sendiri. Pada aksi pertama ACLE, kita telah membuktikan kemampuan JDT apabila berjaya mencuri mata di tempat lawanl,” katanya.
Dalam pada itu, Bidoglio juga mengesahkan pemain tengah, Enzo Lombardo tidak akan diturunkan pada aksi menentang Shanghai Shenhua FC selepas masih lagi mengalami kecederaan ketika menentan Kuching City FC, Jumaat lalu.
Sementara itu, pemain bek tengah, Jordi Amat mengakui benteng pertahanan Harimau Selatan perlu lebih ampuh untuk menangkis serangan lawan dan tiada ruang untuk melakukan kesilapan.
“Kita tahu keupayaan lawan yang bermain secara ‘direct football’ dan benteng pertahanan mereka juga sukar ditembusi. Bagaimanapun, kita juga sudah bertambah baik setiap perlawanan.
“Bermain di peringkat tertinggi seperti ini, kita tidak boleh mudah hilang bola dan melakukan kesilapan. Yang penting kita perlu menang ‘second ball’ yang boleh dijadikan peluang untuk melakukan serangan balas pantas ke kubu lawan,” katanya.