fbpx

Pakar persoal SPM cemerlang walaupun pasca Covid-19

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

PETALING JAYA – Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) mencatatkan kecemerlangan terus apabila gred purata nasional (GPN) dilihat semakin menurun pasca pandemik Covid-19 iaitu bermula tahun 2021.

Bagaimanapun, ia menimbulkan persoalan kerana Malaysia merupakan negara paling lama menutup sekolah secara penuh ketika pandemik Covid-19 berbanding negara-negara maju lain.

Mempersoalkan perkara itu, Pakar pendidikan dari Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dr. Anuar Ahmad merujuk kepada laporan Institut Penyelidikan Khazanah (KRI) bertajuk The State of Households 2024: Households and the Pandemic 2019-2022 (SoH 2024).

Ujarnya, penutupan sekolah di Malaysia memberi kesan kepada prestasi akademik khususnya subjek matematik dan sains yang dilihat semakin merosot berdasarkan Program Pentaksiran Pelajar Antarabangsa (PISA).

Bagaimanapun, katanya, keputusan SPM menunjukkan hasil berbeza apabila GPN semakin menurun sekali gus menunjukkan para pelajar tingkatan lima berada pada tahap yang cemerlang.

“Kalau tengok daripada laporan ini, GPN dari 2016 dilihat semakin menurun, dan pada tahun lepas berada pada aras yang paling baik iaitu 4.60. Jauh lebih baik berbanding daripada tahun 2016 hingga 2018.

“Walaupun pandemik berlaku pada tahun 2020 hingga 2022, ia dilihat tidak memberi kesan signifikan kepada keputusan SPM sekali gus memberikan persoalan besar mengapakah situasi ini terjadi,” katanya.

Anuar

Tambah Anuar, di seluruh dunia termasuk negara-negara maju, penutupan sekolah secara penuh atau separuh sememangnya memberi kesan kepada prestasi akademik apabila kemerosotan dapat dilihat menerusi peperiksaan antarabangsa.

“Kenapa keputusan SPM lebih baik lepas Covid-19 seolah-olah tak ada kesan langsung, malah pandemik itu telah memberikan keputusan yang lebih baik.

“Bagi saya, perkara ini perlu diperjelaskan. Apa akan jadi pada anak-anak ini, adakah mereka memang cemerlang berbanding pelajar tahun 2016 dan bagaimana kecemerlangan itu diukur.

“Ia adalah satu persoalan kepada struktur pendidikan,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai jumlah pelajar tingkatan lima yang menduduki SPM, Anuar berkata, seramai 20,463 orang calon mengalami keciciran apabila tidak mendaftar untuk menduduki peperiksaan itu.

Sementara itu, daripada jumlah itu, yang tidak hadir untuk SPM pula adalah seramai 13,227 orang menjadikan jumlah keseluruhan yang tidak mengambil peperiksaan itu adalah seramai 33,690 pelajar.

“Berbanding tahun 2016, jumlah pelajar yang tidak menduduki SPM hanya 20,168 orang.

“Angka tersebut sebenarnya sangat membimbangkan yang memerlukan satu tindakan khas untuk memastikan jumlah ini dapat dikurangkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI