BALING – Tiga beradik masih menyimpan harapan agar kehilangan bapa mereka, Sabari Baharom, 62, akan terungkai dalam masa terdekat.
Menurut Suraiya Izzaty Sabari, 29, dia dan dua adiknya, Nur Aina Sofiya, 28, dan Muhammad Amir Hakimi Sabari, 25, tetap sabar menanti perkembangan terbaharu siasatan kes bapa mereka yang merupakan pesara Felcra.
“Setiap hari kami menunggu perkembangan terkini mengenai ayah, harap ada berita baik mengenainya. Kami sangat berharap kehilangan ayah dapat diselesaikan.
“Kami menjalani rutin seperti biasa dan saya masih dalam pantang selepas melahirkan bayi perempuan sulung berusia 41 hari. Isteri adik Hakimi juga melahirkan anak sulung lelaki yang kini berusia 48 hari,” katanya hari ini.
menurut wanita itu, dia dan dua adiknya berulang-alik ke rumah bapa mereka di Kampung Mengkuang Tengah, Kuala Pegang di sini untuk membersihkan kediaman tersebut.
Katanya, mereka tiga beradik tidak pernah berputus asa mendoakan agar bapa ditemui dalam keadaan selamat.
Sementara itu, Pemangku Ketua Polis Daerah Baling, Deputi Superintendan Charan Ai Wan berkata, siasatan kes kehilangan Sabari ijalankan Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.
Kosmo! sebelum ini melaporkan Sabari hilang selepas keluar dari rumahnya di Kampung Mengkuang Tengah dengan menaiki kereta jenis Proton Waja pada 4 September lalu. – KOSMO! ONLINE