KUALA LUMPUR – Ibu penyerang Balai Polis Ulu Tiram yang mengakibatkan dua anggota terbunuh pada Mei lalu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas pertuduhan berkaitan ideologi keganasan.
Tertuduh, Rosna Jantan, 59, yang merupakan warga Singapura membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Noorin Badaruddin.
Mengikut pertuduhan, Rosna didakwa dengan sengaja meninggalkan daripada memberi maklumat berkaitan kesalahan-kesalahan itu.
Kesalahan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Sungai Tiram, Johor Bahru antara April 2017 dan 17 Mei lalu.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 130M Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak lebih tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Yazid Mustaqim Roslan memaklumkan semasa Rosna didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, dia diwakili seorang peguam.
“Namun pihak pendakwaan dimaklumkan peguam itu tidak dapat hadir hari ini kerana tidak menerima notis.
“Tertuduh sebelum ini dituduh bersama tertuduh lain dan kes tertuduh lain telah ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid di Mahkamah Tinggi Jenayah 7 pada 23 Oktober ini,” kata Yazid Mustaqim.
Selepas mendengar makluman kedua-dua belah pihak, Hakim Noorin menetapkan 12 November ini untuk pengurusan kes.
Pada 19 Jun lalu, Rosna, suami serta tiga anak mereka didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan berkaitan keganasan.
Dalam kejadian tragis pada 17 Mei lalu dua anggota polis maut, manakala seorang lagi parah selepas ditembak dan ditetak seorang seorang yang bertindak menceroboh masuk ke Balai Polis Ulu Tiram.
Lelaki yang menyerang balai tersebut turut mati ditembak dalam kejadian kejadian berdarah tersebut.
Suspek iaitu lelaki yang memakai topeng dan berpakaian gelap menyerang balai polis tersebut dengan menggunakan senjata parang.
Suspek bertindak mencederakan dua anggota polis yang sedang bertugas, sebelum merampas dua laras senjata api dan melepaskan dua das tembakan.
Tembakan itu mengenai salah seorang anggota polis menyebabkan anggota keselamatan itu mengalami kecederaan pada bahu serta perut.
Mangsa yang ditembak dikenal pasti sebagai Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, manakala anggota yang ditetak pula ialah Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar. – KOSMO! ONLINE