fbpx

Kerajaan perkenal SOP banjir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kerajaan hari ini telah mengeluarkan satu prosedur operasi standard (SOP) bagi memudahkan pengurusan banjir di negeri terlibat bagi mengelak penularan Covid-19.

Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia melibatkan SOP sebelum banjir, semasa dan selepas termasuk pengurusan mangsa yang terlibat.

Jelas beliau, antara SOP tersebut adalah memastikan pusat pemindahan sementara (PPS) yang telah dikenalpasti dan diwartakan mempunyai fasiliti asas yang berfungsi dengan baik, kondusif dan bersedia.

“Ia juga merangkumi ruang untuk mangsa berstatus pesakit di bawah pengawasan (PUS) pandemik Covid-19.

“Selain itu, setiap PPS perlu dilengkapi Kod QR MySejahtera dan setiap petugas serta mangsa banjir yang terlibat perlu menggunakan aplikasi tersebut serta memastikan Personal Protective Equipment
(PPE) mencukupi,” katanya di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, PPS hendaklah dibuka dikawasan Zon Covid-19 atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang sama dan sekiranya tidak dapat dielakkan PPS boleh dibuka di zon yang berhampiran.

Katanya, PPS perlu didisinfeksi sebelum menerima mangsa banjir dan proses pemindahan mangsa ke PPS perlu mematuhi Garis Panduan Pengurusan PPS semasa Covid-19 dan mengikut nasihat KKM seperti menjaga penjarakan fizikal serta memakai pelitup muka pada setiap masa.

“Setiap mangsa yang dipindahkan ke PPS perlu disaring dan kemudian ditempatkan dengan mematuhi aspek penjarakan fizikal. Mangsa juga akan dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.

“Jawatankuasa PPS boleh menempatkan ahli keluarga dalam kubikel yang sama dan bagi mangsa yang bergejala, mereka akan dirujuk ke klinik kesihatan dan kemudian diasingkan di ruang pengasingan khas yang disediakan,”ujarnya.

Tambah beliau, penyediaan makanan dan minuman adalah secara berbungkus (packed meal) dan tidak ada sebarang aktiviti memasak di PPS sepanjang operasi.

“Aktiviti-aktiviti berkumpulan yang menjejaskan penjarakan fizikal adalah tidak dibenarkan termasuk
ziarah antara mangsa.

“Semua kawasan tertutup di PPS dibiarkan terbuka bagi membolehkan peredaran udara yang mencukupi untuk mengeluarkan partikel yang tercemar,” katanya.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, bagi SOP penghantaran semula mangsa banjir, semua mangsa dibekalkan dengan pelitup muka dan dikehendaki memakainya pada setiap masa.

“Memastikan penjarakan sosial ketika dalam kenderaan dan mangsa bergejala dirujuk ke klinik kesihatan.

“Saya menyeru kepada semua mangsa banjir yang terlibat untuk sentiasa mematuhi SOP serta garis panduan yang telah ditetapkan bagi mengelak penularan wabak Covid-19 di musim banjir ini,” tegas beliau. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI