PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kaedah pendekatan penyaluran dana kerajaan kepada golongan miskin dinilai semula.
Anwar berkata, ini bagi memastikan bantuan berkenaan tidak disalah guna dan dapat diuruskan mengikut prosedur yang betul.
Menurutnya, terdapat agensi basmi kemiskinan memperuntukkan sehingga 80 peratus daripada dana itu untuk tujuan pengurusan, namun hanya 20 peratus disalurkan kepada golongan memerlukan.
Justeru, Anwar mengarahkan pemantauan dilakukan oleh Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz bagi menguruskan pengagihan dana tersebut.
“(Kita perlu ubah bagaimana pendekatan), dari mana kita harus kumpul dana dan bagaimana kita agihkan, apakah melalui agensi-agensi yang sedia ada? Berapa upah bagi pengurusan?
“Apakah munasabah satu badan yang ditubuhkan untuk membantu orang miskin memberi upah kepada pengurusan begitu tinggi dan (memberikan kemudahan) perjalanan kelas pertama serata dunia. Sebab itu kita mulai keras hal ini kerana dia sudah jadi budaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Simposium Kebangsaan 2024: Menoktah Kemiskinan di sini hari ini. – KOSMO! ONLINE