fbpx

YBR santuni pelajar yatim piatu lanjut pelajaran ke UM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syaiful Rizal (dua dari kanan) ketika penyerahan sumbangan bagi membantu pelajar UM, Nur Fatihah bagi memulakan pengajiannya.

PETALING JAYA – Yayasan Bank Rakyat hari ini menyantuni seorang pelajar Universiti Malaya (UM) yang kehilangan ibu bapa setelah menerima permohonan bantuan.

Nur Fatihah Mohammad, 24, baru sahaja kehilangan ibu Julai lalu akibat jangkitan kuman pada paru-paru, manakala ayahnya pula meninggal dunia sejak enam tahun yang lepas.

Bukan itu sahaja, pelajar tersebut juga perlu menanggung empat adik-beradiknya berusia 19, 15 dan 12 selain menetap bersama bapa angkat yang merupakan pekerja buruh serta mempunyai empat anak kandung.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Syaiful Rizal Abdul Ghani berkata, bantuan berjumlah RM3,000 disalurkan agar dapat mengurangkan bebanan kewangan dihadapi Nur Fatihah.

“Meskipun bantuan ini tidak mampu menanggung sepenuhnya kos di sepanjang pengajian Nur Fatihah, namun diharap dapat membantu pelajar ini membuat persiapan kemasukan semester baru serta membeli kelengkapan pengajian yang diperlukan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan sumbangan tunai di Kolej Tujuh/Kolej Za’aba UM kepada Nur Fatihah yang melanjutkan pengajian Ijazah Sarjana Muda dalam Jurusan Geografi, di sini hari ini.

Tambah Syaiful Rizal, bantuan ini juga diharapkan dapat memberi semangat dan motivasi kepada Nur Fatihah untuk mendapat keputusan cemerlang sekali gus dapat meningkatkan sosio ekonomi keluarga pada masa akan datang.

“YBR akan sentiasa mendoakan agar Nur Fatihah diberikan kekuatan serta dipermudahkan segala urusan.

“Semoga lebih banyak organisasi luar atau orang ramai dapat sama-sama membantu meringankan bebanan kewangan yang ditanggung oleh Nur Fatihah,” ujarnya.

Sementara itu, Nur Fatihah berkata dirinya berasa amat terharu dan berterima kasih kepada YBR kerana sudi memberikan bantuan dan melihat sendiri keadaan dirinya di UM.

Orang ramai yang ingin menghulur bantuan kepada Nur Fatihah boleh menyalurkan bantuan dengan menghubunginya di talian 011-29332762.

Bagi pengambilan bagi tahun 2024, Pembiayaan Pendidikan Boleh Ubah (PPBU) Yayasan Bank Rakyat bagi pelajar Ijazah Sarjana Muda akan dibuka bermula 1 Oktober sehingga 30 Oktober secara atas talian.

Untuk permohonan dan maklumat lanjut, sila layari laman sesawang di www.yayasanbankrakyat.com.my. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI