fbpx

Bicara Avitan Shalom Januari depan, 30 saksi dipanggil

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Avitan (tengah) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini. - Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

KUALA LUMPUR – Mahkamah Sesyen di sini hari ini menetapkan selama 12 hari pada Januari tahun depan bagi perbicaraan kes warga Israel, Avitan Shalom berkaitan senjata api dan peluru.

Tarikh-tarikh perbicaraan itu ialah 6 hingga 9, 13 hingga 16 serta 20 hingga 23 yang mana kesemua tarikh itu pada bulan Januari 2025.

Hakim Norina Zainol Abidin menetapkan tarikh itu selepas kedua-dua pihak bersetuju dengan cadangan tarikh baharu bagi perbicaraan kes tersebut.

Sebelum ini tarikh-tarikh perbicaraan yang ditetapkan ialah 30 September, 1 hingga 3 Oktober yang kemudian bersambung pada 7 hingga 11 Oktober namun kesemua tarikh-tarikh itu dilapangkan.

Dalam prosiding hari ini, pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohamad Mustaffa P. Kunyalam manakala tertuduh diwakili peguam-peguam Sreekant Pillai dan Jeffrey Ooi.

Semasa prosiding, Mustafa turut memaklumkan seramai 30 saksi pendakwaan akan dipanggil memberi keterangan dalam kes itu.

Pada prosiding terdahulu, Mahkamah Sesyen di sini membenarkan permohonan pihak pendakwaan supaya rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) berkaitan kes itu tidak diedahkan kepada umum selain rakaman itu hanya boleh diberikan pada saksi pakar pembelaan.

Sebelum ini Avitan, 38, mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan pindaan yang dibacakan semula terhadapnya dalam bahasa Inggeris.

Mengikut pertuduhan pindaaan pertama, Avitan didakwa memiliki sekotak Shell Shock NAS3 9mm mengandungi lapan butir peluru, tiga kotak Bullet Master Co Ltd mengandungi 150 butir peluru dan 42 butir peluru di dalam tiga senjata berlainan tanpa lesen atau permit senjata mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara tidak melebihi tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Avitan didakwa berdagang enam senjata api iaitu Glock 19 USA 9×19 (Nombor Siri AEGS286); Sig Sauer P3205P (Nombor Siri 58C283463); Cougar 8000FT (Nombor Siri T6429-10G002496); Glock 17 Gen4 Austria 9×19 (Nombor Siri: BDZZ090); M&P 9C Smith & Wesson Springfield MA USA (Nombor Siri: DSW9077) dan Stoeger Cougar 8000F (Nombor Siri T6429-08-A029304).

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 7(1) Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 yang membawa hukuman penjara tidak kurang 30 tahun, dan tidak lebih 40 tahun serta sebatan tidak kurang enam kali.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan di dalam sebuah bilik hotel di Jalan Ampang, di sini antara pukul 6.46 petang pada 26 Mac dan 6 petang pada 28 Mac lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI