JEDDAH – Sebahagian besar Pasar Antarabangsa Jeddah yang merupakan salah satu pasar raya terbesar di Muhazafah, dilaporkan musnah dalam kebakaran yang dahsyat, lapor portal berita Arab News semalam.
Menurut Jabatan Pertahanan Awam, dua anggota bomba terbunuh ketika menjalankan tugas untuk memadamkan kebakaran di pasar terkenal itu.
Kejadian berlaku sekitar pukul 6 pagi (waktu tempatan) di daerah Al-Rawdah.
“Lebih 20 jentera bomba dikerah untuk mengawal api yang semakin merebak.
“Kebakaran ini berjaya dikawal selepas hampir 12 jam tetapi ia menjejaskan sejumlah besar gerai dan premis. Tiada sesiapa yang berada di pasar itu semasa kejadian,” katanya.
Seorang pemilik kafe dan kedai elektronik, Moammar Al-Awidy, berkata, dia menerima berita mengejutkan itu daripada salah seorang pekerjanya kira-kira pukul 8 pagi (waktu tempatan).
“Saya bergegas ke pasar tetapi pihak berkuasa menasihati kami supaya menjauhi kawasan itu kerana keracunan asap. Meskipun tiada kematian atau kecederaan, bahagian utara pasar terjejas teruk,” kata Moammar.
Tambah Moammar, punca kebakaran disyaki berlaku daripada sebuah premis baharu, yang ketika itu sedang menjalani proses dekorasi berhampiran pintu pagar Nombor 4.
“Ia bermula dari situ dan merebak ke kedai terdekat dan restoran Asia yang lain,” tambahnya.
Pasar Antarabangsa Jeddah ditubuhkan pada 1981 dan menampilkan reka bentuk klasik yang unik di bahagian luar, manakala bahagian dalaman mempunyai hiasan mewah seperti air terjun yang menyerupai tasik kecil.
Ia juga dilengkapi dengan kira-kira 200 kedai seperti elektronik, barang kemas, pakaian, jam tangan serta beberapa restoran Asia. – AGENSI