PETALING JAYA – Kagum dengan kegigihan adiknya, Shaheizy Sam, pelakon Datin Seri Zizie Izzete memuji profesionalisme aktor itu yang sanggup menaikkan berat badannya demi tuntutan kerja.
Zizie atau nama lengkapnya Zizie Izette Abdul Samad, 44, juga yakin adiknya mampu menurunkan berat badan asal selepas tamat penggambaran kelak.
“Ramai yang melihat transformasi Sam betul tak? Ini adalah untuk watak terbaharu dalam filem lakonannya di mana dia menambah berat badan.
“Dia (Sam) sangat komited dengan watak yang diberikan, jadi saya yakin dia akan berjaya menurunkan berat badan selepas tamat penggambaran filem tersebut.
“Dedikasi yang ditunjukkan oleh Sam sangat mengagumkan,” katanya menerusi InstaStory.
Dalam perkongsian yang dibuat, Zizie turut memuat naik foto terkini Sam yang dilihat sedang duduk di atas kerusi dengan penampilannya yang semakin berisi.
Difahamkan, aktor berusia 42 tahun itu sedang menjalani filem Badak yang dilakonkan bersama Wan Hanafi Su.
Sebelum ini, Sam pernah berdepan kenaikan berat badan sebanyak 20 kilogram (kg) ketika pandemik Covid-19.
Tidak lama selepas itu, dia kembali berotot dan mendapatkan semula bentuk badan lama untuk menjalani penggambaran filem Polis Evo 3. – KOSMO! ONLINE