KUALA LUMPUR – Kematangan pemain Kuala Lumpur City nyata menjadi faktor utama kepada kemenangan 4-2 ke atas Penang FC di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.
Berbanding pelawat yang dilihat terpaksa mengerah keringat, pengalaman yang ada pada pemain KL City menyaksikan mereka tampil lebih tenang.
Keputusan itu juga menyaksikan skuad Harimau Kumbang terus kemarau kemenangan dimana dalam tiga aksi terakhir mereka hanya mampu catatkan dua seri dan sekali kalah.
Terdahulu, Penang FC memulakan aksi dengan langkah kanan apabila membuka jaringan seawal minit kedua menerusi Adib Abdul Ra’op.
Bagaimanapun, selang enam minit selepas itu kapten tuan rumah, Paulo Josue kembali menyamakan kedudukan dan minit ke-22, giliran KL City berada di depan hasil ledakan Jovan Motika.
KL City hanya memerlukan 11 minit di babak kedua untuk menambah jaringan menerusi pemain gantian, Haqimi Azim Rosli yang menyudahkan umpanan daripada Josue dari sebelah kanan.
Memasuki minit ke-63, Motika sepatutnya mampu menghasilkan jaringan keempat sebaliknya sentuhan akhir dilakukannya serong ke sebelah kanan gawang Penang FC.
Berpunca daripada serangan balas pada minit ke-74, Haqimi seakan melepaskan geram apabila meledak gol keempat KL City namun gol itu seakan tidak mematahkan semangat Penang FC yang memperoleh gol kedua menerusi Rodrigo Da Silva pada minit ke-82. – KOSMO! ONLINE